Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muslimat PAS turut selar Hasan Ali
Diterbitkan:  Dec 21, 2011 12:52 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Dewan Muslimat menyelar tindakan bekas naib presiden PAS, Datuk Dr Hasan Ali ekoran tindakannya mempersoalkan ”Negara Berkebajikan” PAS serta menuduh parti itu terkeluar daripada landasan perjuangannya.

"Pendirian sebegini sesungguhnya adalah pendirian Umno yang senantiasa mahu memburukkan dan melemahkan PAS khususnya di mata orang Melayu," kata ketua penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi.

"Persoalan kami, apakah nawaitu Datuk Dr Hasan Ali ketika bercakap mengikut rentak musuh-musuh politik PAS?

NONE "Begitu juga bila beliau ”memainkan” isu 3R – Religion, Race and Royal (Agama, Bangsa Dan Raja) yang umum juga tahu ini adalah strategi dan senjata Umno untuk terus mendapatkan ”sokongan hayat” dari para simpatisan dan chauvanis Melayu?" katanya dalam satu kenyataan.

 

Aiman (kanan) menegaskan bahawa Dewan Muslimat berpendirian bahawa ”mempertikaikan Negara Berkebajikan bermaksud juga mempertikaikan dan tidak menghormati presiden dan perwakilan Muktamar Tahunan PAS yang sebulat suara menerima ucapan dasar presiden.”

 

Katanya, Muslimat PAS menyifatkan tindakan terbaru Hassan melalui pendirian kenyataan medianya kelmarin, telah mempertikaikan sepenuhnya PAS, presiden, naib presiden, setiausaha agung dan perwakilan Muktamar Tahunan PAS 2011.

 

"Satu Malaysia telah menyaksikan tindakan ini kerana telahpun disiarkan oleh TV3 melalui slot Buletin Utama.

 

"Justeru, Dewan Muslimat menyarankan agar tindakan tatatertib yang tegas mesti diambil oleh PAS ke atas beliau agar tindakan seumpama ini tidak menjadi budaya dan ikutan," tambahnya.

Menurutnya, PAS wajar memperkasakan keperluan disiplin di dalam parti kerana PAS bukan sahaja dilihat sebagai parti politik biasa sifatnya tetapi juga sebagai sebuah gerakan Islam yang diterima di peringkat dunia - hatta dihormati kawan dan lawan.

"Ini juga yang kami fahami sejak muda remaja dalam asuhan dan tarbiyyah PAS. Ini kekuatan yang telah menghimpunkan generasi muda yang cintakan Islam untuk hadir berjuang dan memperjuangkan Islam bersama PAS," tambahnya.

 

Sehubungan itu, tegasnya, Dewan Muslimat menyeru kepada semua anggota gerakan Islam – PAS di semua peringkat baik ”Qiadah” (pimpinan) mahupun ”Jundiyyah” (pengikut/pelaksana) agar memahami dan menjiwai peruntukan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2011), Fasal 82 (1) (g).  

 

"Dewan Muslimat juga menyelar percubaan dangkal dan nakal pihak-pihak tertentu yang berterusan memfitnah PAS dan kepimpinan PAS bahawa kononnya telah menjadi kuda tunggangan DAP dan seumpamanya.

 

"Sebenarnya, jika diteliti inilah nada dan ungkapan versi Umno kini. Malangnya kedapatan juga ”dilagukan” oleh segelintir pimpinan dan ahli PAS yang kami sifatkan berada dalam dua situasi - 1: Bijak tapi bermasalah; 2: Dungu dan gelap hati," tambahnya.

 

Sambil menegaskan bahawa PAS adalah parti paling ”senior” dalam lanskap politik Malaysia kini, Aman berkata: "Keanggotaan PAS pula adalah daripada pelbagai peringkat latarbelakang pendidikan, sosial dan usia.

"Pemimpin dan ahli boleh datang dan pergi tetapi Islam yang mendasari perjuangan PAS dan kekuatan ”infrastruktur organisasi” di dalam PAS itu insya-Allah semakin teguh dan utuh.

"Gagal memahami sejarah dan ”nilai-nilai” perjuangan PAS akan menatijahkan tindakan dan suara yang sumbang sekalipun individu itu galak melaungkan mereka mahu kembalikan PAS ke landasan asal kerana kononnya telah tersasar!

 

"Perangai seumpama ini telah kita lihat berulang kali dalam sejarah perjuangan  PAS tetapi insya-Allah PAS semakin kuat kerana yang memelihara Gerakan Islam PAS ini sesungguhnya adalah Allah Azza Wajalla.

 

"Hakikat yang mesti kita semua sedari ialah Allah sedang merancang suatu yang lebih baik untuk PAS agar upaya merealisasikan Islam Rahmat Kepada Sekalian Alam. Dewan Muslimat berharap Pimpinan tertinggi akan mengambil langkah wajar seperti yang dicadangkan," katanya.

Muslimat PAS juga, tambahnya, menyeru semua anggota gerakan Islam PAS agar Fokus menghadapi PRU13, perkemaskan gerakan dan  bersama-sama menuju ke Putrajaya.

"Insya-Allah, tanda-tanda Kemenangan semakin terserlah.

 

"Buat anak-anak muda yang kami kasihi, contohi dan susuri strategi kemenangan Sultan Muhammad Al Fateh ketika menawan Kota Constantinople, bukannya keliru dan dikelirukan oleh pemikiran dan pendirian Datuk Dr Mohd Hassan Ali!" tegasnya.

ADS