Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Jangan sertai himpunan 9 Januari
Diterbitkan:  Jan 3, 2012 7:36 AM
Dikemaskini: Jan 3, 2012 7:34 AM

Tindakan menghasut orang ramai untuk berhimpun di kawasan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 9 Januari ini boleh menggugat ketenteraman awam selain menghina pentadbiran sistem keadilan negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

NONE Beliau menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan hasutan pihak yang tidak bertanggungjawab yang sengaja ingin membawa masalah mereka ke jalanan dan seterusnya menghuru-harakan negara.

"Banyak kain rentang yang digantung di tempat awam, serta mesej-mesej melalui media sosial yang mengajak dan menghasut orang ramai supaya berkumpul di perkarangan mahkamah pada hari mahkamah membuat keputusan kes perbicaraan (ketua pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim 9 Jan ini.

"Ini adalah menghairankan kerana mahkamah masih belum membuat apa-apa keputusan mengenai kes tersebut," katanya dalam kenyataan dalam Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata setakat ini, 168 laporan polis diterima di seluruh negara daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan, peniaga, persatuan, ahli politik dan orang awam sebagai membantah kempen mengadakan perhimpunan itu.

NONE "Saya berharap pemimpin atau penganjur perhimpunan tersebut menarik balik rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan itu kerana ia akan menyusahkan orang ramai, khususnya masyarakat umum di Kuala Lumpur," kata Mohmad dalam satu kenyataan.

Beliau turut meminta penulis-penulis blog yang menggesa orang ramai menyertai perhimpunan itu supaya menghentikan penulisan mereka dengan serta-merta.

Melahirkan pandangan serupa dengan Khalid, Mohmad berkata: "Perbuatan itu boleh mengundang berlakunya pelanggaran undang-undang, menggugat ketenteraman awam dan menghina pentadbiran sistem keadilan negara kita."  

Beliau menegaskan orang ramai tidak perlu menerima sebarang hasutan kerana sama ada bebas atau tidak seseorang yang dituduh, bergantung kepada keputusan mahkamah yang berpandukan kepada sistem keadilan jenayah yang diamalkan di negara ini.

Mohmad seterusnya mengeluarkan amaran berikut: "Pada hari tersebut, sesiapa yang terlibat atau menyertai mana-mana pihak untuk meneruskan juga perhimpunan ini, polis akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada."

Sementara itu, Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor berkata polis akan mengumumkan persediaan untuk menghadapi rancangan perhimpunan tersebut, termasuk penutupan jalan.

"Kita (polis) akan mengadakan sidang media pada masa terdekat tetapi belum memutuskan bila ia akan diadakan," kata Rusli ketika dihubungi Bernama .

Beliau tidak menolak kemungkinan persiapan yang akan dilakukan pihak polis sama seperti apa yang dibuat untuk perhimpunan haram 9 Julai tahun lalu.

- Bernama

ADS