SURAT | Pada 19 April lalu seluruh negara terkejut dengan dakwaan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dimakzul sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Proklamasinya ditandatangani seorang Datuk Undang, dua mantan Datuk Undang, manakala seorang lagi tidak pernah dizahirkan sebagai Datuk Undang.

Ia mencetuskan perdebatan, malah perbincangan mendalam kedudukan institusi diraja, keluhuran adat, pematuhan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta kepentingan pemerintahan berperlembagaan.

Perkembangan tersebut antara isu paling diperkatakan tahun ini, khususnya rakyat ‘Nogori’ dan pemerhati politik.

Sementara itu, kita semua dihidangkan kenyataan demi kenyataan yang memperlihatkan ‘perang’ yang tersendiri di bumi beradat itu. Cuma bezanya, dulu perang melibatkan senjata tajam atau kelengkapan tentera, kini ia dalam bentuk saling berbalas kenyataan awam, termasuk melibatkan suntingan dan campuran kecerdasan buatan.

Tanpa disedari, senario itu mengingatkan kita kepada krisis melibatkan Sayidina Uthman Affan yang berdepan dengan fitnah serta khabar-khabar angin yang ditiup oleh pihak musuh.

Ia berlaku pada enam tahun terakhir pemerintahannya.

Ketika itu, pemberontak – khususnya dari Iraq dan Mesir – yang terpengaruh dengan khabar angin dan surat palsu sering melakukan provokasi terhadap khalifah tersebut.

Antara fitnah yang dihamburkan ialah beliau mengamalkan kronisme dan nepotisme, menyalahguna harta baitulmal dan membakar naskhah al-Quran.

Khalifah Uthman menjawab semua tuduhan di hadapan sahabat di mimbar Masjid Nabawi di Madinah dalam satu pertemuan.

Namun usaha tersebut sia-sia dan tidak masuk ke fikiran musuh kerana pemberontak terlalu mengikut amarah. Akhirnya sahabat Rasulullah SAW itu syahid ketika membaca al-Quran di rumah di Madinah pada 18 Zulhijjah 35 Hijrah.

Peristiwa ini direkod karya sejarah Islam. Antaranya Tarikh al-Rusul wa al-Muluk oleh Muhammad Jarir al-Tabari dan al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir.

Jika peristiwa fitnah pun turut dialami Khalifah Uthman, sudah tentu ia terbuka terhadap Tuanku Muhriz tatkala ditelusuri satu per satu tuduhan yang dikenakan ke atas baginda.

Tuanku Muhriz berulang kali menyatakan baginda tidak pernah memecat dan melantik Dato’ Undang Luak baru, tidak campur tangan urusan luak berundang melainkan hanya menerima keputusan Waris Berundang.

Semakan mendapati tiada salah laku Tuanku Muhriz berkaitan tanah adat seperti didakwa penentang.

Dalam beragama, Tuanku Muhriz mempertahankan qaul muktamad mazhab Syafie termasuk mahu perbuatan solat Jumaat dibuat mengikut undang-undang syariah demi mengelak perpecahan umat.

Tuanku Muhriz bertitah mengenai haknya sebagai raja yang berkeadilan bagi “alam Negeri Sembilan”.

Meski segalanya mengikut aturan adat, perlembagaan negeri dan persekutuan, namun penentang Tuanku Muhriz tetap mahu baginda turun dari takhta.

Insiden kira-kira 1,400 tahun lalu melinatkan khalilfah ketiga selepas kewafatan Rasulullah itu melibatkan provokasi, fitnah dan khabar-khabar palsu. Kini kaedah yang sama turut digunakan melalui pelbagai wadah termasuk media sosial.

Ia menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, cucunda Yang di-Pertuan Agong pertama itu terus bersikap lembut, mesra dan tidak meninggalkan rutin solat Jumaat bersama rakyat.

Ia dapat dibuktikan dengan hampir tiadanya tindakan undang-undang diambil terhadap penentang yang melempar fitnah terhadap baginda.

Dalam keadaan begitu, ‘kerasnya’ baginda hanyalah dengan enggan menerima menghadap dan meninggikan sedikit suara kepada orang yang mengkhianatinya.

Tuanku Muhriz masih bertakhta dan bertindak menangani kemelut mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri serta Perlembagaan Persekutuan.

Dugaan baginda kali ini memang luar biasa, namun sebagai raja bertakhta, terserlah kebijaksanaan dan daulatnya.


FARIDZWAN ABDUL GHAFAR ialah pembesar adat Melayu Luak Sungei Ujong menyandang gelaran Datuk Penghulu Dagang Lembaga Lingkungan Lenggeng.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.