Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan melakukan penyalahgunaan kuasa penjualan saham bernilai RM24 juta ketika menerajui sebuah badan milik Kerajaan Negeri Sabah.

Dia juga didakwa memberi maklumat yang salah kepada Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (LPTS) berhubung penjualan saham itu lapan tahun lalu.

Kasitah, 46, mengaku tidak bersalah dan Hakim Rosnani Abdul Rahman membenarkan dia diikatkamin sebanyak RM1 juta.

Menurut pihak pendakwa, Kasitah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi lembaga itu untuk kepentingan kewangannya, dengan mengambil bahagian dalam keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta unit saham pegangan LPTS dalam SAPI Plantations Sdn Bhd kepada Briskmark Enterprise Sdn Bhd padahal beliau telah dijanjikan sejumlah 3.36 juta saham SAPI Plantations.

Kasitah dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat Forum, Hotel Fairlane di Kuala Lumpur pada 22 Okt, 1996. Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Nombor 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat Tahun 1970 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Untuk tuduhan kedua, Kasitah didakwa telah dengan curangnya menyembunyikan tawaran PPB Oil Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi saham SAPI Plantations Sdn Bhd di dalam cadangan PPB Oil Palm untuk disenarai di Papan Utama, Bursa Saham Kuala Lumpur.

Dengan itu, beliau didakwa telah dengan sengaja mendorong ahli-ahli Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah untuk meluluskan penjualan 16.8 juta saham pegangan LKTS dalam SAPI Plantations kepada Briskmark Enterprise Sdn Bhd, di mana jika diberitahu mengenainya tawaran PPB Oil Palms, mereka tidak akan meluluskan penjualan saham tersebut.

Kasitah didakwa melakukan kesalahan menipu ahli lembaga tersebut, juga di Bilik Mesyuarat Forum, Hotel Fairlane di Kuala Lumpur 22 Okt 1996.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan/atau didenda.

Orang kenamaan

Kasitah ditahan selepas tiba di ibupejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya pada jam 8.55 pagi tadi sebelum dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Pasukan pendakwa diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, manakala Kasitah diwakili oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Kasitah merupakan orang kenamaan kedua yang ditahan BPR dalam tempoh seminggu ini. Bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Selasa lalu atas tuduhan melaku pecah amanah melibatkan lebih RM76 juta 10 tahun lalu.

Pada 8 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan pihak berkuasa mempercepatkan siasatan kes rasuah supaya imej kerajaan tidak tercemar.

Kasitah dilantik sebagai Senator dan dilantik semula sebagai Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi pada tahun 1999 setelah menerajui kementerian yang sama dari Jun 1989 hingga November 1999.

Jawatankuasa khas

Kasitah bergiat aktif dalam arena politik mulai 1976 dan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kundasang, Sabah atas tiket Usno tetapi tewas kepada calon Berjaya.

Pada 1976, beliau meninggalkan Usno untuk turut mengasas Parti Bersatu Sabah (PBS). Kasitah menang tanpa bertanding bagi kerusi Parlimen Kinabalu pada 1986 tetapi tidak dipilih semula mewakili PBS mempertahankan kerusi itu pada 1990.

Kasitah kemudian menyertai Umno dan menjadi Ketua Umno bahagian Kinabalu sejak 1992 sehingga sekarang.

Kasitah dilantik sebagai Senator pada 25 Jun 1998, dan pernah menganggotai Jawatankuasa Khas Kabinet bagi mengkaji penyelewengan dalam kerajaan pada November 1988.

Beliau dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri pada 1996.