Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parti sesat: PAS mahu MB disiasat ikut Jenayah Takzir
Diterbitkan:  Feb 20, 2012 8:59 AM
Dikemaskini: 1:04 AM

PAS membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi tindakan diambil ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang menuduh parti itu sebagai ‘parti ajaran sesat’.

Laporan berkenaan diserah oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik kepada pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Saleh di pejabatnya di Kompleks Seri Iman, di Kuala Terengganu, semalam.

terengganu ahmad said and state assembly 130509 Beliau yang dipetik Harakahdaily berkata Ahmad ( kiri ) mengeluarkan kenyataan itu dengan niat jahat dan sengaja bagi menimbulkan suasana tidak tenteram dan kurang senang di kalangan umat Islam di Malaysia.

Sehubungan itu, dalam laporannya itu, PAS mahu Ahmad disiasat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada Seksyen 38(1) dan Seksyen 51.

Seksyen 38(1) enakmen itu menyebut, mana-mana orang yang mengatakan atau menomohkan dengan perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan isyarat atau gambaran tampak atau dengan apa-apa perbuatan aktiviti atau perlakuan atau dengan menganjurkan, menaja atau membuat perkiraan bagi apa-apa aktiviti atau selainnya dengan apa-apa cara, bahawa mana-mana orang yang menganut agama Islam atau orang yang tergolong dalam apa-apa kumpulan, golongan atau perihalan orang menganut agama Islam.

“Pertama, adalah kafir. Kedua, tidak lagi menganut agama Islam. Ketiga, tidak sepatutnya diterima atau tidak boleh diterima sebagai menganut agama Islam atau Keempatnya, tidak mempercayai, mengikuti, menganuti atau tergolong dalam agama Islam.

“Adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau di penjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” kata  Abu Bakar dipetik akhbar rasmi PAS itu.

Katanya lagi, menurut Seksyen 51 Enakmen yang sama pula mana-mana orang yang dengan sengaja mengeluarkan atau menyebarkan kata-kata yang bertentangan dengan Hukum Syarak yang mungkin boleh memecahkan keamanan di mana-mana tempat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, kenyataan tersebut boleh difahami secara tersurat dan tersirat bahawa pimpinan, ahli dan penyokong PAS adalah golongan yang terlibat dengan ajaran sesat.

ADS