Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis benar perhimpunan anti-Lynas di lokasi alternatif

Himpunan Hijau 2.0 anti-Lynas Ahad ini akan diadakan di Padang MPK4 - yang terletak di hujung jalan dari tempat asal yang dijadual sebelum ini, di Kuantan.

Padang tersebut, yang juga dikenali sebagai Padang Kemunting yang terletak beberapa ratus meter dari tempat asal, berhampiran Hospital Tengku Ampuan Afzan di Jalan Kuantan-Gambang.

Clement Chin lynas save malaysia group Menurut ahli jawatankuasa pemandunya, Clement Chin ( kiri ), ia diputuskan selepas perbincangan selama sejam dengan pihak polis Pahang pagi ini.

"Pihak polis bersetuju untuk menyediakan bantuan, kawalan keselamatan dan lalulintas untuk perhimpunan tersebut, mengikut Akta Perhimpunan Awam yang baru," katanya ketika dihubungi.

Menurut Chin, tempat baru itu, "yang hanya di hujung jalan dari padang MPK1", boleh menampung jumlah yang sama dan pada tahun lepas, telah digunakan untuk sambutan perayaan hari Kemerdekaan.

Antara mereka yang mewakili polis Pahang ialah Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Ab Ghani dan Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff.

Penganjur menganggarkan kehadiran 20,000 orang, manakala PAS berjanji menggerakkan 10,000 ahlinya, termasuk dari negeri jiran Terengganu.

"Kita tidak mahu sesiapa mendapat kecederaan. Kami akan berhimpun secara aman tanpa kekerasan serta memastikan orang ramai mematuhi undang-undang.

"Perhimpunan kami sebelum ini telah dicemari oleh gangguan dari kumpulan pro-Lynas," katanya.

NONE Menurutnya, pihak penganjur bagaimanapun kesal dengan tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

MPK sebelum ini enggan untuk mempertimbangkan permohonan pihak penganjur untuk menggunakan padang MPK1, tanpa surat sokongan dari polis.

Semalam, MPK memagar padang tersebut, dengan alasan ia sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian sebagai persediaan untuk Sukan Malaysia (Sukma).

"Tetapi Sukma ialah pada bulan Jun! Mereka boleh sekurang-kurangnya benarkan kami guna padang tersebut pada hari Ahad," kata Chin.

Perhimpunan itu - kedua sejak September lalu - akan berlangsung selama tiga jam, mulai 9.30 pagi. Perhimpunan perpaduan turut dianjurkan di negeri-negeri lain, termasuk di ibunegara Kuala Lumpur.

Polis: Kami sudah jelaskan syarat

Sementara itu, Bernama melaporkan, ACP Mohd Jasmani sebagai berkata Himpunan Hijau 2.0 boleh diadakan di padang MPK 4 Ahad ini tetapi bersyarat.

   

"Menerusi perjumpaan dengan penganjur pada 10 pagi tadi, kami telah menjelaskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi.

"Antaranya perhimpunan itu hanya boleh bercakap mengenai perhimpunan hijau sahaja selain mereka yang hadir tidak boleh membawa senjata dan benda tajam," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

   

NONE Selain itu, beliau berkata, tempoh untuk mengadakan perhimpunan itu hanya dibenarkan bermula pada 10 pagi sehingga 12 tengah hari sahaja.

   

Menerusi perjumpaan itu juga, katanya penganjur bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk di sekitar Kuantan selain mengelak berlaku kesesakan.

Mengenai perubahan tempat, Mohd Jasmani berkata MPK tidak dapat memberi kebenaran untuk menggunakan padang MPK 1 berikutan pengubahsuaian padang berkenaan untuk persiapan temasya Sukan Malaysia.

"Polis telah mencadangkan tempat penganjuran diubah ke padang MPK 4, Kemunting dan telah dipersetujui oleh MPK serta penganjur," katanya.

Beliau turut menjelaskan kebenaran kepada penganjur itu bukan satu permit yang dikeluarkan polis tetapi kebenaran mengikut Akta Himpunan Aman.

MP Kuantan jamin himpunan aman

  

Sementara itu, anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh ( bawah ) berkata beliau akan memastikan perhimpunan itu berjalan dengan lancar dan aman dengan mengikut lunas undang-undang.

   

NONE "Kita percaya semua pihak mahu ia berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi," katanya.

   

Selasa lepas, 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Pahang membuat laporan polis membantah perhimpunan itu dengan alasan ia boleh menimbulkan masalah keselamatan dan ketenteraman awam.

Sementara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) - antara NGO menyokong himpunan itu -- dalam kenyataannya berkata, rakyat yang akan hadir tidak mempunyai pilihan dan "akan melimpah" ke seluruh jalan raya di bandar Kuantan.

ADS