Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Penjagaan kesihatan merupakan hak asasi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia, etnik atau status sosial. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, hak rakyat mengakses perkhidmatan kesihatan yang bersistem lengkap haruslah sentiasa terjamin.

Sekali pandang, konsep 1Care yang bertujuan memperbaiki sistem perkhidmatan kesihatan awam demi kebajikan dan manfaat rakyat memang menggalakkan memandangkan sistem perkhidmatan kesihatan awam memainkan peranan yang amat mustahak dalam kehidupan semua lapisan masyarakat.

Namun, suara bantahan terhadap retorik skim 1Care yang kian berkobar-kobar di kalangan masyarakat bukannya tanpa alasan yang munasabah.

Malahan, isu yang dibangkitkan berkenaan dengan cadangan skim 1Care turut mendedahkan kelemahan dan ketidaksempurnaan sistem penyampaian dan pembiayaan perkhidmatan kesihatan sedia ada di Malaysia.

Sebagai langkah pertama, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menyokong cadangan pelbagai pihak bahawa meningkatkan peruntukan dana kerajaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan merupakan penyelesaian yang lebih praktikal.

Peruntukan terhad, tadbir urus kerajaan lemah

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar peruntukan dana kerajaan Malaysia untuk sektor penjagaan kesihatan masih rendah berbanding dengan negara-negara lain.

Hanya 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diperuntukkan untuk sektor penjagaan kesihatan dan jumlah peratusan ini hanya mencakupi 7.1 peratus daripada jumlah perbelanjaan kerajaan.

Peratusan ini adalah jauh lebih rendah daripada cadangan WHO dan purata sedunia.

Sebagai rujukan kepada model perkhidmatan kesihatan di luar negara seperti NHS , rakyat British tidak perlu membayar cukai tambahan untuk membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kerana cukai yang sedia dibayar adalah dikendali secara berasingan di bawah dua sistem, iaitu cukai pendapatan dan Insurans Kebangsaan ( National Insurance ).

Cukai tersebut kemudiannya disalurkan bagi pembiayaan perkhidmatan kesihatan yang dikendali NHS Trust . Pada dasarnya, rakyat British dapat dimanfaatkan dengan menerima perkhidmatan percuma dalam bidang amalan am, kecemasan, penjagaan jangka panjang, dan pergigian.

Dalam sistem tersebut, pesakit turut diberi hak pemilihan dari segi doktor, penjagaan, dan tempat rawatan. Namun, pakej lengkap tidak ditawarkan dalam 1Care yang dicadangkan Kementerian Kesihatan.

Tambahan pula, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan seperti memperkenalkan dispensari swasta dan menyediakan "sayap swasta" ( private wing ) di sesetengah hospital kerajaan, mempromosikan pelancongan kesihatan di hospital swasta dan sebagainya telah menghakis daya tahan sektor awam secara beransur-ansur.

Sebagai akibatnya, peranan yang dimainkan oleh sektor awam dalam penjagaan kesihatan semakin hari semakin terhakis dan diganti oleh sektor swasta, malah beban masyarakat semakin memberatkan.

Jurang perbelanjaan perkhidmatan kesihatan antara sektor awam dan swasta jelasnya bukan menunjukkan bahawa masyarakat adalah berupaya membiayai kos kesihatan tanpa bergantung kepada dana kerajaan dan perkhidmatan awam.

Sebaliknya, seperti yang dinyatakan di atas, percanggahan dari segi kualiti servis dan kelengkapan infrastruktur dalam sektor awam dan swasta masing-masing telah menyebabkan pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta supaya rawatan yang diterima terjamin kualiti dan kesannya.

Apa yang harus ditegaskan di sini ialah perkembangan sektor swasta dalam bidang kesihatan patutlah dihargai dan dikekalkan manakala kelemahan dalam perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh sektor awam hendaklah ditangani dan dinaiktarafkan.

Namun, keazaman pihak kerajaan dalam menambahbaik sistem perkhidmatan kesihatan awam dan mengekalkan sumbangan sektor swasta tidak terserlah dalam kertas konsep "1Care untuk 1Malaysia".

Sebaliknya, sistem pengendalian perkhidmatan kesihatan awam yang dinyatakan adalah melalui penggabungan hospital awam dan hospital swasta supaya perbezaan dari segi kelengkapan infrakstruktur dan amalan klinikal dapat mencapai tahap keseimbangan.

Isu seperti penghijrahan kepakaran ( brain drain ) turut dipercayai dapat diatasi melalui integrasi sektor awam dan swasta. Namun begitu, seperti yang didakwa oleh Dr Ng Swee Choon, integrasi ini seakan-akan menghapuskan daya persaingan bersama yang sebenarnya dapat mempertingkatkan prestasi perkhidmatan kesihatan.

Tambahan pula, integrasi yang disyorkan bukan sahaja akan menyekat perkembangan industri penjagaan kesihatan swasta, malah piawai penyeragaman kualiti juga tidak dapat dicapai.

Dari sisi pandangan ini, cadangan skim 1Care yang dikemukakan akan membazirkan usaha kegigihan pelbagai pihak tanpa mencapai objektif bagi mempertingkat perkhidmatan kesihatan.

Rumusan

Pada hakikatnya, kebanyakan projek yang dikendalikan oleh pihak kerajaan adalah berakhir dalam kekesalan disebabkan kelemahan dari segi kecekapan dan ketelusan dalam tadbir urus.

Telah pun wujudnya begitu banyak usaha penstrukturan sebelum ini yang dilaksanakan bagi memperbaiki sistem kesihatan tetapi malangnya ketiadaan proses yang cekap dan telus telah menyebabkan timbulnya masalah yang lebih serius.

Akibatnya, wang terbazir dengan sia-sia manakala kebajikan dan kebaikan rakyat pula tidak terjamin. Sekiranya skim 1Care dilaksanakan, berkemungkinan besar sistem perkhidmatan kesihatan kini akan dilanda kerugian yang lebih besar.

Oleh demikian, KPRU menyaran pihak berkaitan mengkaji semula sistem pembiayaan dan peruntukan perkhidmatan kesihatan semasa di Malaysia dan mempertingkatkan perbelanjaan kerajaan dalam sektor tersebut.

Di samping itu, sebuah suruhanjaya kesihatan yang dikendali secara awam di bawah kawalan masyarakat boleh ditubuhkan bagi memastikan pengendalian yang telus dan efektif.

Dengan memastikan tiada ketirisan, peningkatan peruntukan wang dipercayai dapat menyelesaikan masalah seperti kekurangan infrasktruktur yang lengkap atau kakitangan perubatan yang profesional bagi memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat.

Apa yang asas sekali adalah memastikan kecekapan dan ketelusan dalam segala sistem pelaksanaan dan pengendalian supaya hak rakyat yang terasas sentiasa terpelihara.


Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merupakan pusat kajian baru yang kritikal. KPRU ditubuhkan pasca 8 Mac 2008 dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

Tulisan ini merupakan petikan daripada kajian KPRU berjudul "Kertas konsep 1Care tidak bertapak atas realiti sosioekonomi masyarakat Malaysia

" dan tidak melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
ADS