Pertikaian dalaman PN: Takiyuddin sanggah Azmin, puji MIPP
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan, menolak dakwaan Bersatu yang menganggap PAS bertanggungjawab atas pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Menjelaskan dakwaan yang dibuat Bersatu, Takiyuddin berkata, Bersatu tidak dijemput ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai kerana pertikaian dalaman parti itu yang belum diselesaikan.
Memberikan respon terhadap kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, Takiyuddin berkata PN, hanya meneruskan amalan sedia ada, iaitu mengecualikan sementara parti komponen yang berdepan pertikaian dalaman daripada menyertai mesyuarat gabungan terbabit.
Pada masa sama Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS sempat memuji satu lagi parti komponen PN iaitu Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang turut pernah berdepan dengan isu dalaman.
Pada Jan lalu, kata Takiyuddin, MIPP diberi tempoh untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan kepimpinannya terlebih dahulu sebelum kembali dilibatkan dalam mesyuarat PN.
Apabila masalah itu diselesaikan secara dalaman, tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi, barulah MIPP kembali dalam mesyuarat PN.
“Sementara menunggu penyelesaian tersebut, PN tidak memanggil atau menjemput MIPP menghadiri mesyuarat.
“Tetapi MIPP ini hebat. Mereka tidak membuat laporan kepada ROS,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
Takiyuddin berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Azmin bahawa kepimpinan PN yang diterajui PAS melanggar perlembagaan gabungan itu apabila menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, bersuara dan mengundi dalam mesyuarat PN.
Katanya empat ahli Parlimen Bersatu – Sabak Bernam, Sungai Besar, Kangar dan Kulim-Bandar Baharu – telah membuat aduan kepada ROS pada 13 Julai berhubung korum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Ada sebab tak logik
Dia menegaskan keempat-empat mereka masih merupakan ahli Bersatu dan bukan daripada kumpulan serpihan mereka – Wawasan.
Takiyuddin berkata dia kemudian menulis surat kepada Azmin bagi memaklumkan mengenai aduan itu dan mendapatkan penjelasan.
“Oleh sebab itu, PN bimbang sekiranya Bersatu – yang mempunyai masalah dalaman yang masih belum diselesaikan – turut mengambil bahagian dalam mesyuarat, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu mungkin tidak sah.
“Maka, atas dasar itu, kami memberikan peluang kepada Bersatu sama ada untuk menjelaskan kepada kami keadaan sebenar ataupun mendapatkan penjelasan daripada ROS mengenai aduan tersebut,” katanya.
Dia menambah Bersatu tidak boleh dijemput ke mesyuarat pada 16 Julai selagi perkara tersebut belum diselesaikan.
Takiyuddin turut menegaskan Azmin menerima surat berkenaan melalui tanda biru pada aplikasi WhatsApp menunjukkan mesej itu telah dibaca.
“Saya ada rekod dalam telefon bimbit kerana saya menghantar surat itu melalui WhatsApp.
“Ada blue tick pada WhatsApp saya kepada Setiausaha Agung Bersatu.
“Maknanya, Setiausaha Agung Bersatu telah menerima dan membaca surat yang saya hantarkan itu. Bermaksud, perkara tersebut dalam pengetahuan beliau.
“Sehingga hari ini, tidak ada apa-apa penjelasan yang diberikan oleh Bersatu,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/ec2efc23f8e97434d5f5f6a6fa403035.jpg)
Takiyuddin turut merujuk kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada 15 Julai lalu yang menyatakan parti itu akan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan menggunakan logo 'bunga raya' dan bukannya PN.
Katanya, perkara itu menjadi alasan kedua Bersatu tidak perlu dijemput kerana mesyuarat pada 16 Julai diadakan khusus untuk menentukan logo pilihan raya gabungan itu serta calon daripada parti komponennya.
“Oleh kerana Bersatu mahu bertanding sendiri, bertandinglah. Nak bertanding 36 kerusi pun, gunakan logo Bersatu. Tidak perlulah kami panggil.
“Kalau kami panggil Bersatu datang, setiausaha agung mereka boleh kata: ‘Kenapa awak panggil kami? Kami nak guna logo kami sendiri.’
“Tak logik,” katanya.
Takiyuddin menegaskan kedua-dua alasan itu telah dikemukakan kepada ROS berserta bukti dokumen, namun penjelasan PN tetap dianggap tidak memuaskan mereka.
Terdahulu Azmin mendakwa PAS dan sekutunya gagal mempertahankan prinsip demokrasi serta tadbir urus yang baik dalam PN apabila mengetepikan Bersatu daripada mesyuarat pada 16 Julai membawa kepada pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Dia juga mendakwa keputusan ROS membuktikan bantahan Bersatu terhadap mesyuarat berkenaan berasas dan menggesa PAS menggalas tanggungjawab, bukannya menggambarkan parti itu sebagai mangsa politik menjelang PRN Melaka.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/345345_348921.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.