Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerusi Parlimen Terengganu: PAS serah kepada Pusat
Diterbitkan:  Mar 18, 2012 9:15 PM
Dikemaskini: 1:17 PM

PAS Terengganu menganggap permintaan PKR Terengganu untuk bertanding di tiga kerusi parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang sekadar hasrat parti itu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut, berkata ini kerana keputusan akhir terletak pada pucuk pimpinan pusat Pakaatn Rakyat.

"Itu hasrat dia...dia nak bertanding. Kita juga ada hasrat sendiri, tapi kita tak naklah beritahu," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media awal bulan ini yang memetik Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail, sebagai berkata parti itu berhasrat meletak tiga calon Parlimen dan 11 calon DUN di negeri tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata PAS Terengganu yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

"Kita tunggu keputusan pusat," katanya menambah agihan kerusi akan dibuat pimpinan pusat dalam sedikit masa lagi.

Mengenai calon, Abdul Wahid berkata PAS Terengganu masih dalam peringkat mengumpul nama calon sebelum disaring untuk senarai akhir.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Kemaman dan Dungun serta lima kerusi DUN iaitu Bandar, Seberang Takir, Telemong, Kota Putera dan Permaisuri, namun semua calon mereka tewas di tangan calon BN.

 - Bernama

ADS