Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan hari ini mengambil peluang untuk menimbulkan semula isu perpaduan antara PAS dan Umno dalam pertemuan dengan sekumpulan imam dan bilal dari negeri Terengganu.

Dalam kempennya kepada pemimpin masjid berkenaan, Ahmad antara lainnya mendakwa perpaduan itu ditolak kerana majoriti pemimpin PAS didakwa bukan daripada kalangan ulama.

NONE "Saya tak pasti kenapa PAS tidak sambut salam perpaduan daripada Umno. Bagi saya, tidak pernah perpaduan itu merugikan dan perpecahan itu menguntungkan.

"Mungkin saya rasa antara faktor mengapa PAS tidak mahu perpaduan itu adalah kerana kepimpinan PAS kini majoriti bukan daripada ulama. Timbalan presidennya, naib presidennya, bukan daripada ulama," katanya lagi di Kuala Lumpur.

Katanya, perkara itu ditimbulkannya terdahulu ketika memberi ucapan dalam kursus jati diri yang dihadiri kira-kira 360 orang imam dan bilal dari negeri yang pernah ditadbir PAS itu.

Individu berkenaan merupakan pemimpin masjid daripada kawasan parlimen yang diwakili BN – Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

Kata-katanya itu juga timbul ketika Umno Terengganu kini bergiat untuk memperluaskan kempen wacana "PAS: Parti Ajaran Sesat" anjurannya, ke negeri yang kuat dipengaruhi PAS seperti Kedah dan Kelantan.

"Hampir satu perempat yang ada dalam dewan tadi orang PAS. Jadi saya terbuka bercerita mengenai perpaduan ini dan berharap kepada penyokong PAS yang keliru, segera berbaik dengan pejuang Umno di bawah agar ada gerakan dari bawah yang membuka minda pemimpin di atas," kata Ahmad lagi.

Tambahnya, perpaduan antara PAS dan Umno akan menjadi lebih mudah sekiranya kerusi timbalan presiden PAS, yang diisi Mohamad Sabu, dikekalkan oleh Nasharuddin Mat Isa dalam pemilihan parti itu, Jun lalu.

Katanya lagi, Nashaaruddin lebih berfikiran terbuka berbanding Mohamad Sabu yang popular dengan gelaran Mat Sabu.

"Kalau Nasha (Nasaruddin) menang, mudahlah. Ini Mat Sabu yang menang. Kalau Nasha, perkara ini mudah kerana beliau pemimpin yang terbuka minda untuk melihat orang Islam bersatu. Mat Sabu tu pemikiran tertutup.

"Ada ke (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng pun dia kata seperti Umar Abdul Aziz," katanya yang menambah dengan yakin bahawa PAS dan Umno tidak mustahil akan bersatu semula.

Tambahnya, pemimpin kedua-dua parti itu perlu bersatu sekiranya pucuk pimpinan parti berkenaan tidak mahu perpaduan tersebut berlaku.

"Harapan itu ada. Tidak ada yang mustahil dalam politik... Namun kelihatan perkara ini terhenti akibat kemenangan Mat Sabu dan tiga naibnya yang bukan ulama dan pemimpin lain. Saya harap ada sinar kembali yang entah bila," katanya.

ADS