Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR: Pengundi diragui kekal hingga pengesahan JPN
Diterbitkan:  Apr 26, 2012 7:46 PM
Dikemaskini: 11:52 AM

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata nama 40,803 pengundi yang status mereka diragui perlu dikekalkan dalam Daftar Pemilih Induk sehingga status mereka disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    

Beliau berkata undang-undang tidak membenarkan nama dalam daftar pemilih dipotong sewenang-wenangnya tanpa pengesahan oleh pihak JPN.

    

"SPR hanya memotong nama-nama mereka daripada daftar pemilih setelah mendapat pengesahan secara rasmi daripada JPN," katanya sebagai menjawab dakwaan SPR gagal membersihkan daftar pemilih dalam buku "Fakta Sebenar Di Sebalik Dakwaan dan Fitnah Terhadap SPR".

    

Beliau berkata selagi pengesahan muktamad dari JPN tidak diperolehi, kesemua nama 40,803 pemilih berkenaan perlu dikekalkan di dalam Daftar Pemilih Induk bagi menjamin hak mereka dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    

Katanya hasil semakan berterusan antara SPR dan JPN sehingga 28 Mac lepas, jumlah daftar pemilih yang diragui statusnya berkurangan kepada 40,803 daripada 42,051 sebelum ini.

Pengurangan itu ekoran terdapat pemilih yang tampil ke JPN untuk mengemaskini maklumat kad pengenalan dan ada waris yang hadir membawa bukti kepada JPN mengenai kematian anggota keluarga atau saudara mereka, katanya.

SPR, katanya akan mengambil langkah berterusan membersihkan Daftar Pemilih dengan mempamerkan senarai itu selama tiga bulan untuk memberi peluang kepada orang ramai tampil untuk mengemas kini.

Di dalam tempoh itu juga, kata SPR mengedarkan senarai nama tersebut ke ibupejabat semua parti-parti politik utama serta pemimpin-pemimpin politik di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.

"Ia bertujuan untuk mendapatkan bantuan dalam usaha mencari pengesahan dan maklum balas berhubung dengan kedudukan alamat dan status terkini pemilih-pemilih berkenaan.

    

"Dukacita sepanjang tempoh itu sambutan diterima oleh SPR sama ada dari parti-parti politik atau orang ramai amat dingin," katanya.

    

Menjawab dakwaan mengenai SPR telah mendaftar pemilih terdiri daripada warga asing yang telah mendapat taraf warganegara, Abdul Aziz berkata hanya warganegara Malaysia, berumur 21 tahun dan ke atas sahaja layak serta berhak menjadi pengundi.

    

Beliau menegaskan mustahil bagi bukan warganegara atau warga asing dapat mendaftar sebagai pengundi kerana permohonan menjadi pengundi diproses melalui sistem komputer dan mengikut tatacara pemerosesan ditetapkan di bawah undang-undang.

    

"Jadi tidak timbul soal tentang siapa atau apa jua latar belakang seseorang warganegara itu apabila ia memohon untuk menjadi pemilih," katanya.

    

Mengenai masih ramai pemilih berusia lebih 100 tahun berada dalam daftar pemilih, beliau menjelaskan pemotongan nama hanya boleh dibuat atas dua sebab iaitu pemilih telah meninggal dunia mengikut pengesahan rekod di JPN dan keduanya pengesahan hilang kelayakan sebagai pengundi mengikut bukti pengesahan dari jabatan-jabatan yang berwajib.

"Walaupun umur seseorang pemilih itu telah melangkaui 100 tahun, undang-undang tidak membolehkan SPR untuk memotong nama mereka sesuka hati atas anggapan bahawa mereka mungkin telah meninggal dunia," katanya.

- Bernama

ADS