PARLIMEN l Pegawai undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa ditawarkan wang tunai dan tajaan percutian ke luar negara bagi mempercepatkan semakan kontrak, dedah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini.

Prosiding PAC yang berlangsung dari 29 Jun hingga 16 Julai lalu melibatkan pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UKM, Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) serta bekas pegawai pengurusan universiti berkenaan.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata, Pejabat Penasihat Undang-undang UKM menerima tekanan berterusan, termasuk permintaan supaya pegawainya bekerja pada hujung minggu bagi membolehkan kontrak tertentu memotong giliran semakan undang-undang.

"SPRM hendaklah menyiasat dan mendakwa pihak yang terlibat dalam cubaan memberikan suapan wang tunai dan tajaan percutian bagi memotong giliran fail semakan di pejabat Penasihat Undang-undang," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Universiti Kebangsaan Malaysia

Gesaan itu antara syor PAC susulan siasatannya terhadap ketidakteraturan tadbir urus kewangan di Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional UKM (UKMShape).

Siasatan itu tertumpu kepada perjanjian antara UKM dan KSBB bagi mengendalikan program Sarjana Pendidikan (SPEND) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).

Mas Ermieyati berkata, perjanjian berkenaan melanggar tatacara perolehan kerajaan dan Perlembagaan UKM kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) serta Kementerian Kewangan.

"Perjanjian antara UKM dan juga KSBB bagi pengendalian Program Sarjana Pendidikan (SPEND) dan juga Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) tidak mematuhi tatacara perolehan kerajaan dan melanggar Perlembagaan UKM kerana tidak mendapat kelulusan rasmi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan juga Kementerian Kewangan," katanya.

PAC turut mendapati pegawai UKM memegang jawatan utama dalam KSBB tanpa kebenaran bertulis ketua jabatan masing-masing, manakala nama mereka disembunyikan dalam dokumen asal koperasi itu ketika proses usaha wajar (due diligence) dijalankan oleh Pejabat Penasihat Undang-undang UKM.

Satu lagi konflik kepentingan membabitkan lori yang digunakan bagi promosi bergerak UKMShape, yang didaftarkan atas nama syarikat milik anak kandung bekas pengarah pusat berkenaan.

Aduan diabaikan hampir lapan bulan

PAC turut mendapati pentadbiran terdahulu UKM gagal mengambil tindakan terhadap aduan konflik kepentingan sehingga berlaku pertukaran kepimpinan universiti.

"Melalui penelitian dokumen dan juga keterangan saksi, PAC telah pun membuat rumusan bahawa berlakunya pengabaian terhadap aduan konflik kepentingan yang tidak diambil tindakan oleh pentadbiran lama UKM selama hampir lapan bulan, sehinggalah kepimpinan baharu memulakan siasatan dalaman," kata Mas Ermieyati.

Universiti Kebangsaan Malaysia

Jawatankuasa itu turut mempersoalkan kebebasan Jawatankuasa Siasatan Dalaman (JKSD) UKM yang ahlinya dilantik secara langsung oleh naib canselor.

Siasatan awal hanya tertumpu kepada pegawai bawahan tanpa melibatkan pembuat keputusan utama, termasuk bekas naib canselor, namun skopnya kini diperluas untuk merangkumi pegawai kanan berkaitan.

Mas Ermieyati berkata, panel siasatan bebas bagi menangani ketidakteraturan serius pada masa depan perlu dilantik oleh LPU atau KPT, bukannya naib canselor.

"Skop siasatan wajib merangkumi rantaian arahan di peringkat pengurusan tertinggi," tegasnya.

PAC turut mengkritik LPU kerana meluluskan perjanjian atas andaian semakan rapi telah dijalankan di peringkat bawahan, selain bergantung kepada kehadiran wakil Kementerian Kewangan tanpa memastikan kelulusan rasmi kementerian diperoleh.

"LPU tidak lagi boleh bertindak sekadar sebagai pengesah terakhir iaitu rubber stamp," kata Mas Ermieyati.

Tambahnya, wakil Kementerian Kewangan dalam LPU perlu memainkan peranan proaktif menyemak pematuhan pekeliling Perbendaharaan sebelum sesuatu cadangan diluluskan.

Jutaan ringgit yuran pelajar

Siasatan PAC itu turut menyusuli pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan pada Februari lalu berhubung ketidakteraturan serius pengurusan kewangan UKMShape.

Audit berkenaan mendapati sebuah koperasi mengutip yuran pengajian berjumlah RM50.74 juta tanpa kebenaran sah bagi program SPEND dan DPLI.

Sebanyak RM32.36 juta hasil yuran pengajian pula tidak direkodkan dengan sewajarnya dalam akaun UKM, manakala RM5.32 juta masih belum diserahkan kepada universiti itu setakat 31 Disember 2024.

Audit itu turut mengenal pasti konflik kepentingan melibatkan lima pegawai UKM yang memegang jawatan utama dalam koperasi berkenaan, selain pembayaran komisen berjumlah RM5.94 juta kepada ejen yang tidak layak serta perbelanjaan luar negara sebanyak RM107,907 melibatkan individu bukan kakitangan UKM.

Universiti Kebangsaan Malaysia

Seiring dengan dapatan audit itu, Mas Ermieyati berkata PAC mengesyorkan supaya semua universiti awam melarang pihak ketiga mengutip yuran pengajian pelajar dan memastikan semua kutipan dimasukkan terus ke dalam akaun rasmi universiti.

Saman sivil, siasatan SPRM

Mas Ermieyati turut mendedahkan bahawa KSBB memfailkan saman sivil menuntut RM2.496 juta di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Mei lalu.

UKM kemudian memfailkan tuntutan balas sebanyak RM3.44 juta bagi tunggakan yuran, selain mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap bekas pengarah UKMShape dan bekas pengerusi KSBB bagi menanggung liabiliti.

PAC mengesyorkan kedua-dua pihak menjalankan audit pelarasan akaun bagi menentukan jumlah tuntutan tertunggak sebenar, sementara prosiding undang-undang diteruskan.

Pada Mac lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan berhubung isu tadbir urus dan ketidakteraturan kewangan yang dibangkitkan dalam LKAN.

Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Azam Baki, berkata siasatan berkenaan membabitkan program pengambilan pelajar yang didakwa tidak mendapat kelulusan LPU serta unsur tuntutan palsu.

UKM sebelum ini turut memberi komitmen untuk mengambil tindakan tatatertib dan undang-undang berdasarkan hasil siasatan dalamannya.