Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PKR hari ini mempertikaikan tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sewaktu dipimpin Datuk Seri Shahrizat Jalil yang didakwa menyalurkan peruntukan kepada sebuah pertubuhan tidak berdaftar.

NONE Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa, kerajaan menyalurkan hampir RM5 juta setahun melalui Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) yang disifatkannya 'organisasi haram dianggotai ketua-ketua Wanita Umno" di setiap kawasan parlimen.

Menurut Rafizi, semakannya dengan Pendaftar Pertubuhan mendapati MPWK tidak pernah didaftarkan, sekali gus menjadikannya "pertubuhan haram".

Rafizi juga mendakwa, walaupun asalnya keanggotaan MPWK terdiri daripada exco wanita dari kerajaan-kerajaan negeri seluruh Malaysia, ia kini diketuai ketua Wanita Umno negeri di peringkat negeri dan ketua Wanita Umno bahagian di peringkat Parlimen.

Selain daripada MPWK yang ditubuhkan pada tahun 2001 sebaik Shahrizat dilantik menjadi menteri penuh, Rafizi percaya lebih banyak lagi wang kerajaan disalurkan kepada Wanita Umno oleh Shahrizat.

Justeru, beliau menuntut Datuk Seri Najib Razak yang memangku jawatan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat agar tampil menjelaskan dakwaannya itu.

"Kita minta penjelasan dari Najib (kerana) semua aktiviti dia (MPWK) adalah aktiviti Wanita Umno," kata Rafizi.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin pula menuntut Najib membubarkan segera MPWK dan mengarahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap perkara itu.

Beliau yang mengemukakan surat jemputan konvensyen MPWK didakwa dari kementerian itu kepada seorang ketua Wanita Umno bahagian sebagai bukti dan berikrar tampil dengan bukti lain bagi mengukuhkan dakwaannya.

"Wanita PKR akan terus mengemukakan bukti sekiranya tiada maklum balas dari Najib, Shahrizat dan SPRM," katanya.

ADS