Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas pengarah CID sertai PAS untuk 'perjuang Islam'

Bekas pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari berkata bahawa tujuannya menyertai PAS adalah untuk "memperjuangkan Islam mengikut lunas demokrasi yang dibenarkan."

"Mudah-mudahan akan menjadi ruang untuk menyokong perjuangan yang baik," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berhubung penyertaannya ke dalam parti itu.

Fauzi, 62, juga menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menjadi calon pilihan raya, walau beliau dijangka akan membawa pengaruh besar ke dalam parti itu.

Tambahnya, beliau mahu membiarkan isu berhubung penyertaannya ke dalam parti itu reda terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan lanjut.

"Saya sehari dua ini tidak mahu menghangatkan dulu. Biar sejuk sikit," kata Fauzi lagi yang menerima banyak reaksi daripada pelbagai pihak, antaranya daripada Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Presiden persatuan itu, Shafie Bakri antara lainnya dilaporkan berkata, tindakan Fauzi itu mengkhianati kerajaan dan mengguris hati golongan bekas polis.

Fauzi menyertai PAS secara rasmi pada Ahad lalu selepas menyerahkan borang untuk menjadi ahli PAS kepada presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis di Larut, Perak.

Beliau menyertai PAS selepas enam tahun bersara daripada khidmatnya dalam Polis Diraja Malaysia.

ADS