Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menolak dakwaan bahawa 300 peguam syarie yang bermasalah mendapatkan sijil tauliah Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) boleh beramal di mahkamah syariah negeri.

Menolak kenyataan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) Musa Awang, Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mendedahkan, beliau sendiri salah seorang mangsanya.

NONE "Saya sendiri merupakan pengamal undang-undang dan peguam di Pulau Pinang. Apa yang dikatakan oleh Musa salah.

"Pulau Pinang berbeza dengan Wilayah Persekutuan, Kelantan yang mempunyai sijil amalan dan sijil peguam.

"Di Pulau Pinang tak ada sijil amalan cuma ada sijil peguam sahaja yang diperbaharui setiap tahun," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Musa semalam berkata, isu ketiadaan tauliah di Pulau Pinang tidak menimbulkan masalah besar kerana apa yang berlaku hanya ketiadaan sijil amalan dan bukan tiada pentauliahan.

Tambahan lagi, katanya, walaupun tiada sijil amalan yang perlu diperbaharui setiap tahun, khidmat guaman masih lagi boleh dijalankan seperti biasa dengan menggunakan slip bayaran yang telah dibuat.

Musa juga mencadangkan supaya pindaan enakmen negeri dibuat supaya ketua hakim turut diberi kebenaran menandatangani sijil amalan seperti di Selangor.

Bercanggah dengan kaedah negeri

Sekarang ini hanya yang dipertua (YDP) boleh menandatanganinya.

Bagaimanapun, Zainul Rijal hari ini berkata, kenyataan Musa itu bukan sahaja salah tetapi turut bercanggah dengan Kaedah-kaedah Peguam Syarie negeri Pulau Pinang 1997.

azlan Menurut Seksyen 14 Kaedah-kaedah Peguam Syarie Negeri Pulau Pinang, tiap-tiap orang yang dilantik menjadi peguam syarie hendaklah memiliki sijil peguam syarie yang akan dikeluarkan oleh MAIPP setelah membayar yuran.

Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, menjadi kesalahan sekiranya peguam syariah tidak memiliki sijil berkaitan dan tidak dibenarkan beramal dan boleh dikenakan tindakan keluar mahkamah sekiranya melanggarnya.

"Satu kesalahan kalau tak ada sijil peguam syarie. Kalau ketika dalam mahkamah, hakim minta untuk lihat sijil peguam syarie dan kita tiada (sijil), kita boleh disuruh keluar mahkamah.

"Jadi, saya harap YDP dapat menandatangi surat permohonan sijil peguam syarie tersebut," katanya lagi.

'Ketepikan masalah politik'

Sehubungan itu, Zainul turut menasihati MAIPP mengenepikan permasalahan politik yang berlaku demi kepentingan rakyat.

"Saya harap boleh ketepikan soal politik untuk keadilan rakyat," katanya lagi.

NONE Semalam, Berita Harian melaporkan, seramai 300 peguam syarie di Pulau Pinang terpaksa menjalankan urusan guaman syariah tanpa tauliah berikutan perebutan kuasa dalam MAIPP.

Masalah itu didakwa berlanjutan sejak enam bulan lalu disebabkan kegagalan kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan nama individu yang dipertanggungjawabkan sebagai YDP secara rasmi.

Harian itu difahamkan, exco agama negeri Abdul Malik Abul Kassim, yang diperkenan pelantikannya sebagai YDP MAIPP oleh Yang di-Pertuan Agong enggan menandatanganinya kerana bimbang dianggap menerima pelantikan, sekali gus melanggar janji dengan PAS pada pada 2009.

Malaysiakini sudah menghubungi Abdul Malik semalam bagaimanapun beliau belum mahu mengulas berhubung perkara itu.

ADS