Belanjawan 2027 mencadangkan kenaikan had pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta peluasan pelepasan untuk merangkumi perbelanjaan seperti yuran tuisyen anak dan penjagaan ibu bapa serta datuk nenek yang lanjut usia.

Langkah itu bertujuan meringankan beban kewangan pembayar cukai, khususnya mereka yang menanggung kos membesarkan anak sambil menyara ibu bapa yang semakin tua.

Namun, adakah peluasan pelepasan itu mampu memberikan manfaat bermakna kepada “generasi sandwic”, yang berdepan peningkatan kos sara hidup serta perbelanjaan menjaga tanggungan berusia muda dan tua?

Bagi sesetengah orang, cadangan itu memberikan sedikit kelegaan. Yang lain pula berpandangan penjimatan cukai sebenar mungkin jauh lebih rendah daripada perbelanjaan penjagaan mereka dan bantuan lebih langsung diperlukan.

‘Beberapa ratus ringgit tak ubah apa-apa’

Pengurus sektor swasta Jasbir Bhar, 52, mengalu-alukan cadangan itu, tetapi berpendapat penjimatan sebenar mungkin belum mencukupi untuk meringankan beban keluarga yang menjaga ibu bapa lanjut usia.

Jasbir berkata keluarganya membelanjakan RM22,320 setahun untuk menggaji pembantu rumah sepenuh masa bagi menjaga bapanya yang berusia 88 tahun.

Jumlah itu tidak termasuk bayaran agensi pengambilan pekerja sebanyak RM15,000 setiap dua tahun, atau purata RM7,500 setahun.

Dua perbelanjaan itu sahaja mencecah hampir RM30,000 setahun, belum mengambil kira ubat-ubatan, janji temu perubatan, makanan, utiliti dan keperluan peribadi lain.

“Sejujurnya, peluasan untuk merangkumi perbelanjaan penjagaan bukan perubatan sudah terlalu lama dinantikan. Gaji pembantu rumah dan bayaran agensi sahaja hampir empat kali ganda had pelepasan yang dicadangkan.

“Jadi, saya benar-benar merasakan kerajaan masih sangat terpisah daripada realiti kewangan keluarga yang menjaga ibu bapa lanjut usia,” katanya kepada Malaysiakini.

Jasbir turut menggesa Putrajaya menjelaskan sama ada gaji pembantu rumah dan bayaran agensi berkaitan layak dituntut di bawah peluasan pelepasan itu.

Pada masa ini, pelepasan cukai sehingga RM8,000 diberikan bagi perbelanjaan tertentu berkaitan rawatan perubatan dan penjagaan ibu bapa serta datuk nenek.

Ini termasuk rawatan di klinik dan hospital, penjagaan di rumah, pusat jagaan harian dan pusat jagaan berkediaman, serta rawatan pergigian bukan kosmetik.

Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan mencadangkan peluasan pelepasan itu untuk merangkumi semua perbelanjaan berkaitan penjagaan warga emas.

Pelepasan cukai pendidikan juga dicadangkan diperluas bagi membolehkan tuntutan sehingga RM2,000 untuk perbelanjaan termasuk yuran tuisyen anak dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), seni, bahasa serta pengajian agama.

Jasbir yang menetap di Melaka berkata kenaikan had pelepasan cukai individu kepada RM12,000 juga perlu dilihat dalam konteks yang betul.

Menurutnya, tambahan RM3,000 dalam jumlah yang boleh ditolak daripada pendapatan tidak bermakna penjimatan sebenar sebanyak RM3,000.

Jumlah penjimatan bergantung pada pendapatan bercukai seseorang dan kadar cukai yang dikenakan, katanya.

Dia menggesa kerajaan meningkatkan pelepasan penjagaan, menyediakan bantuan kewangan berdasarkan penilaian kemampuan dan menawarkan perkhidmatan penjagaan awam yang lebih mampu dibiayai untuk warga emas.

“Saya bukan mengatakan kita tidak patut menghargainya, tetapi apabila anda menyara ibu bapa lanjut usia, mengurus perbelanjaan isi rumah dan cuba menyimpan sedikit untuk persaraan sendiri, beberapa ratus ringgit setahun tidak mengubah apa-apa.

“Saya lebih mahu melihat kerajaan memperkenalkan langkah yang benar-benar mengurangkan perbelanjaan isi rumah, berbanding mengumumkan kenaikan pelepasan cukai yang kedengaran jauh lebih besar daripada nilai wang sebenarnya,” kata Jasbir.

Membantu walau sikit

Kebimbangan Jasbir turut dikongsi seorang penulis yang hanya mahu dikenali sebagai Salma.

Wanita berusia 36 tahun itu berkata peluasan pelepasan cukai dapat mengurangkan tekanan kewangannya, meskipun dia tidak menjangkakan penjimatan yang besar.

Dengan pendapatan isi rumah antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan, Salma perlu mengurus perbelanjaan membesarkan dua anak sambil menyara ibunya yang berusia 68 tahun.

Ibu tunggal yang menetap di Lembah Klang itu berkata tambahan pelepasan berkenaan memberikan sedikit ruang untuk mengurus kewangan ketika kos sara hidup meningkat.

“Paling kurang ada sikit ruang untuk kami mengurus kewangan dengan lebih baik. Mungkin penjimatan cukai itu taklah terlalu besar, but for me, every little bit helps, khususny bila kos sara hidup sekarang semakin meningkat,” katanya.

Salma berkata penjagaan ibu bapa lanjut usia bukan sekadar melibatkan bil perubatan, malah perbelanjaan lain yang kelihatan kecil juga boleh menjadi beban apabila dihimpunkan.

Dia menganggarkan keluarganya membelanjakan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan untuk keperluan ibunya.

Walaupun bekas suaminya membayar yuran kelas mengaji anak-anak mereka, Salma menyambut baik cadangan pelepasan yuran tuisyen kerana kos pendidikan boleh menjadi perbelanjaan besar bagi ibu bapa.

Dia turut menggesa kerajaan memberikan lebih perhatian kepada isi rumah berpendapatan sederhana, yang menurutnya sering terlepas pandang dalam perbincangan mengenai bantuan kewangan.

“Saya berharap keadaan bertambah baik dari tahun ke tahun dan pengecualian ditingkatkan, khususnya bagi golongan M40.

"Orang ramai cenderung hanya melihat B40, tetapi terlupa bahawa M40 juga sedang menanggung kesusahan,” katanya.

Penjimatan cukai berbeza mengikut isi rumah

Bagi sesetengah pembayar cukai, cadangan perubahan itu menawarkan manfaat yang lebih ketara, meskipun mereka sedar pelepasan cukai mempunyai batasnya.

Carol Tee, bukan nama sebenar, seorang eksekutif sektor swasta berusia 54 tahun di Kuala Lumpur, menganggarkan dia boleh menjimatkan kira-kira RM1,100 menerusi cadangan perubahan cukai pendapatan itu, dengan andaian faktor lain tidak berubah.

Meskipun menerima gaji bersih lima angka, Tee berkata dia seorang sahaja yang menjaga kedua-dua ibu bapanya yang berusia lingkungan 80-an.

“Bagi julat cukai pendapatan, jika semua faktor lain kekal sama, akan ada sedikit penjimatan, mungkin sekitar RM1,100. Lebih baik daripada tiada penjimatan langsung,” katanya.

PM Anwar Ibrahim delivers Budget 2026 speech book generic 091026

Tee turut mengalu-alukan cadangan peluasan pelepasan penjagaan, sambil berkata sedikit pengurangan pendapatan bercukai lebih baik daripada tiada langsung.

Dia mencadangkan had pelepasan cukai bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinaikkan daripada RM7,000 kepada RM10,000 bagi menggalakkan lebih ramai orang mencarum secara sukarela untuk persaraan.

Pakar perubatan Dr Sarah Shaik Abdul Karim, 52, yang menjaga ibunya bersama ahli keluarga lain, turut menyambut baik cadangan peluasan pelepasan cukai, khususnya takrif penjagaan yang lebih luas.

“Sebagai doktor, saya berharap mekanisme ini akan memudahkan keluarga yang mempunyai warga emas yang bergantung kepada orang lain untuk aktiviti harian,” katanya.

Sarah menganggarkan cadangan perubahan itu boleh menjimatkan kira-kira RM2,000 dalam cukai pendapatannya.

Bagaimanapun, dia berkata mekanisme pelaksanaannya, khususnya perbelanjaan penjagaan yang boleh dituntut, masih belum jelas baginya.

Membantu aliran tunai

Sementara itu, kakitangan bank Saro Gani yang menetap di Rawang, Selangor berkata cadangan perubahan cukai itu boleh membantu aliran tunai keluarganya.

Bapa kepada empat anak berusia antara 12 hingga 24 tahun yang berasal dari Sarawak itu turut membantu menyara ibu bapanya yang semakin tua.

“Duit penjimatan itu sekurang-kurangnya boleh diguna untuk perbelanjaan harian,” katanya.

Menurut Saro, pelepasan baharu itu turut meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan kos pendidikan anak-anak yang semakin meningkat.

Sebagai pencari nafkah keluarga, dia berkata langkah itu membantu mengurangkan sedikit beban kewangannya.

Bagaimanapun, Saro belum pasti jumlah penjimatan yang bakal diperolehnya. Mengenai bayaran balik cukai pula, dia berkata jumlah yang diterima pada tahun-tahun terdahulu kurang daripada RM1,000.

Dia berharap cadangan perubahan itu akan membawa penjimatan lebih besar.

Pelepasan tuisyen beri sedikit kelegaan

Selain penjagaan warga emas, cadangan peluasan pelepasan berkaitan pendidikan juga boleh membantu ibu bapa mengurus peningkatan kos pendidikan anak-anak.

Bagi ketua jururawat Julia Abu Hassan Shaari yang bekerja di sebuah hospital separa kerajaan, cadangan itu mungkin membolehkannya menambah subjek tuisyen anak-anak tahun depan.

Ibu kepada empat anak dari Sungai Buloh, Selangor, itu membelanjakan RM65 sebulan untuk tuisyen Matematik dan Sains anak sulung lelakinya yang berusia 11 tahun.

Dia menjangkakan perbelanjaan itu meningkat apabila anak keduanya turut mengikuti tuisyen tahun depan.

Julia menyambut baik peluasan pelepasan cukai itu.

“Cadangan pelepasan cukai baharu kerajaan ini bagus kerana meliputi lebih banyak jenis perbelanjaan.

“Kebanyakan ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti tuisyen, dan kos setiap subjek biasanya sekitar RM75 sebulan,” katanya.

Dia berkata pelepasan yang dicadangkan boleh memberikan lebih ruang untuk menambah subjek tuisyen anak-anaknya.

Julia turut berharap kerajaan mempertimbangkan peluasan pelepasan cukai kepada aktiviti kokurikulum seperti memanah dan seni mempertahankan diri, yang menurutnya semakin biasa disertai kanak-kanak.

Dia juga mengalu-alukan peluasan pelepasan penjagaan kerana dia dan adik-beradiknya berkongsi perbelanjaan kira-kira RM1,000 sebulan untuk bapa mereka yang berusia 79 tahun dan menghidap darah tinggi serta diabetes.

Dalam perkara berasingan, Julia menggesa kerajaan menyemak dasar tangga gaji jururawat kerana ramai masih berada pada gred gaji peringkat diploma meskipun mempunyai kelayakan lebih tinggi.

Tidak semua dapat manfaat sama

Bagaimanapun, cadangan pelepasan cukai itu mungkin memberikan manfaat langsung yang lebih terhad kepada mereka yang keadaannya berbeza daripada pembayar cukai yang masih bekerja.

Pesara tentera udara Rafli Abd Latiff, 44, berkata kebanyakan cadangan belanjawan itu tidak banyak memberikan kesan kepadanya.

Namun, dia mengalu-alukan bantuan kewangan kepada pesara dan kenaikan Bantuan Awal Persekolahan kepada RM200 bagi setiap murid.

Bapa kepada enam anak berusia antara setahun hingga 19 tahun itu turut bimbang cadangan kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun tahun depan boleh menyebabkan harga barang meningkat.

Dia juga bimbang pekerja muda terdorong berbelanja berlebihan untuk memenuhi kehendak berbanding keperluan apabila pendapatan meningkat, sehingga akhirnya berhutang.

[Baca berita asal]