Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi kata akan kerjasama dengan Faekah
Diterbitkan:  Jun 25, 2012 5:02 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata beliau akan bekerjasama dengan setiausaha politik menteri besar Selangor Faekah Husin untuk membongkar penyelewengan yang didakwa berlaku ketika pentadbiran BN di negeri itu.

Rafizi berkata, langkah itu adalah susulan kepada peletakan jawatannya "yang diperbesarkan oleh media Umno kononnya ia petanda wujud keretakan di dalam pentadbiran kerajaan Selangor yang ditunjangi PKR."

Katanya, tindakan itu juga sebagai menyahut cabaran Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Puad Zarkashi untuk mendedahkan dakwaan penyelewengan yang berlaku di negeri itu.

"Esok saya akan mula duduk berbincang dengan Cik Faekah Husin untuk meneliti semula fail penyelewengan yang berlaku di Selangor semasa pentadbiran Umno dahulu, sebagai menyahut seruan pimpinan Umno agar saya membongkarkan penyelewengan yang berlaku di Selangor," katanya.

Cabaran berkenaan disuarakan oleh Puad dua hari lalu ekoran tindakan Rafizi meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Puad menyifatkan peletakan jawatan itu sebagai kesan daripada kemarahan Rafizi terhadap pemimpin tertentu dalam pentadbiran tersebut dan mencabar pemimpin muda itu supaya mendedahkan dakwaan penyalahgunaan kuasa di Selangor.

Blog pro-Umno sebelum ini membuat spekulasi bahawa peletakan jawatan Rafizi pada 21 Jun merupakan kesan daripada perbalahan dengan Faekah, yang didakwa berpengaruh besar ke atas Meneri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, termasuk dalam pengagihan RM300 juta melalui Geran Selangorku.

Rafizi bagaimanapun menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa beliau meletak jawatan untuk menumpukan perhatian dalam parti bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Peletakan jawatan ini adalah satu tindakan biasa yang juga dilandaskan pada asas moral keraa seorang ahli politik tidak wajar dibayar gaji dari wang rakyat apabila tumpuannya cederung kepada aktiviti politik partinya."

ADS