Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Talam: K'jaan S'gor akan sediakan kertas putih
Diterbitkan:  Jul 3, 2012 9:18 PM
Dikemaskini: 11:49 PM

Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan kertas putih menerangkan penyusunan semula hutang Talam Corporation sebagai lampiran dalam Bajet 2013.

NONE Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kertas putih ini akan dijadikan salah satu laporan dalam Bajet 2013 untuk memudahkan orang ramai meneliti penyusunan hutang Talam.

"Usaha ini dilakukan kerana masih ada pihak-pihak yang tidak faham dengan proses penyusunan semula hutang TALAM," katanya selepas menutup majlis dialog bajet Selangor 2013 di Subang Jaya, hari ini.

Mengulas dakwaan MCA bahawa kerajaan Selangor menggunakan RM260 juta untuk menyelamatkan Talam, menteri besar berkata beliau tidak faham mengapa angka itu berubah-ubah kerana sebelum ini MCA mendakwa jumlahnya RM1 billion.

"Ini menunjukkan MCA tidak faham dengan proses penyusunan semula hutang ini. Mungkin kita perlukan rakan kita dari DAP mengajar MCA tentang cara-cara penyusunan hutang ini dilakukan," katanya.

Beliau akan memberi penjelasan lanjut mengenai dakwaan MCA ini dalam sidang akhbar selepas mesyuarat exco esok.

Mengenai dakwaan salahguna kuasa menukar status tanah di Petaling Jaya, Menteri Besar berkata, beliau hanya boleh membuat ulasan selepas sesi pendengaran  awam oleh Selcat selesai dijalankan.

"Saya perlu bersikap berkecuali bagi membuka peluang kepada pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan ini," katanya.

Menjawab soalan mengenai Unisel pula, menteri besar berkata, universiti itu sedang menyiapkan laporan akaun yang tidak diaudit sejak lima tahun lalu, untuk dibentangkan dalam mesyuarat agung tahunan Unisel tidak lama lagi.

 

ADS