Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berasa kecewa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang yang disifatkannya tidak beretika sewaktu perdebatan kali kedua di antara mereka petang tadi.

Beliau mendakwa Lim gagal menjawab soalan sewaktu perdebatan dan sebaliknya mengambil kesempatan menghentam menteri MCA yang tidak berpeluang menjawab di atas pentas yang sama.

"Saya kecewa dengan Guan Eng kerana beliau tidak menjawab soalan.

"Lagi satu tidak adil apabila beliau menghentam menteri MCA sedangkan beliau tahu mereka tidak berpeluang menjawabnya di atas

pentas.

"Itu sangat tidak beretika di dalam debat. Itu bukan kebiasaan di

dalam debat," katanya.

Guan Eng dalam hujah penggulungannya menyebut tentang penangguhan penyiapan pengubahsuaian Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan penurunan taraf pelabuhan Pulau Pinang kepada pelabuhan penghubung sahaja.

Kedua-duanya terletak di bawah Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Guan Eng turut mengkritik Kementerian Kesihatan yang mahu

menswastakan penjagaan kesihatan dan Kementerian Perumahan dan

kerajaan Tempatan yang didakwa menghalang Pulau Pinang melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Dalam perkembangan lain, Chua menyatakan yang beliau tidak bercadang untuk melarang ahlinya daripada terus membangkitkan mengenai dakwaan melibatkan ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Kita tiada cadangan (untuk berbuat demikian)," kata Chua dalam sidang media selepas sesi debat dengan ketua menteri tersebut, Lim Guan Eng di Bandar Sunway hari ini.

Beliau ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan perintah larangan

kepada ahli parti itu daripada membangkitkan dakwaan yang mengaitkan nama Lim dengan seorang bekas kakitangan pejabat ketua menteri Pulau Pinang.

"Yang memanjangkan isu ini adalah Guan Eng dan isterinya," katanya lagi.

Dakwaan berkenaan hubungan itu pada asalnya dibangkitkan Ketua MCA Melaka, Gan Tian Loo pada sidang dewan negeri itu minggu lalu.

Ia dibangkitkan Gan, kerana isteri Guan Eng, Betty Chew merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana.

Lim Guan Eng bagaimana pun menafikannya dan mencabar Gan untuk

menyebutnya di luar dewan negeri tanpa sebarang imuniti ADUN.

Menurut Chua, walaupun beliau tidak bercadang melarang ahli MCA

daripada bercakap tentang dakwaan itu, beliau juga mengakui yang ia bukan isu yang bersifat nasional.

"Ia merupakan perkara yang sangat peribadi," kata Chua ringkas.

Lim Guan Eng pada sidang akhbar berasingan menegaskan yang DAP sendiri tidak menggunakan isu peribadi untuk menyerang keluarga Chua Soi Lek sewaktu beliau mengaku terlibat dalam video seks pada awal tahun 2008.

"Sewaktu Chua Soi Lek mempunyai videonya, kami tidak pernah menyalah gunakan (isu) itu di Parlimen walau pun dia mengaku.

"Kami tahu anak-anaknya menghadapi masa yang sukar pada masa itu.

"Kenapa anda sanggup buat begini kepada keluarga saya sedangkan anda tahu (dakwaan) itu satu pembohongan?" katanya.

ADS