PARLIMEN | Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) menggesa Putrajaya mempertimbangkan untuk menutup penternakan babi di Malaysia, ketika kerajaan sedang menilai keseluruhan rantaian industri itu.

Ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini, naib presiden Wawasan Negara itu mengingatkan supaya perkara berkenaan tidak dijadikan isu perkauman atau agama.

Katanya, pertimbangan perlu menumpukan pencemaran, kebajikan rakyat terbanyak dan kesesuaian industri itu untuk negara.

Wan Saiful berpandangan kerajaan persekutuan wajar menilai keperluan meneruskan ladang babi berskala besar kerana bekalan daging babi boleh diperoleh melalui import, seperti yang dilakukan Singapura.

“Malahan ada kemungkinan daging-daging babi import ini lebih murah daripada yang diternak di Malaysia,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027.

Pada persidangan Parlimen Januari lalu, Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) turut mencadangkan kerajaan menghentikan penternakan babi di Malaysia dan hanya mengimport daging itu bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam tempatan.

Kalam berkata penternakan babi di Malaysia berkemungkinan mendapat bantahan penduduk setempat tanpa mengira lokasinya. Dia turut menyifatkan pendekatan Singapura yang tidak menjalankan penternakan babi sebagai “lebih selamat”.

Pada Mac, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan memulakan kajian menyeluruh terhadap sektor penternakan babi bagi menilai industri itu dari sudut perundangan, teknikal, ekonomi dan sosial.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Mohamad berkata kajian itu akan menjadi asas untuk memperkemas dasar dan mekanisme pelaksanaan bagi memastikan sektor berkenaan berkembang secara terancang dan bertanggungjawab.

Dalam jawapan itu, dia turut memaklumkan daripada 355 ladang babi berdaftar di seluruh negara, sebanyak 121 ladang, atau 34 peratus, sudah beralih kepada sistem penternakan moden yang menggunakan model kandang tertutup dan konsep pelepasan sifar.

Kemudian pada Julai, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin menegaskan kerajaan tidak sepatutnya menafikan hak ladang babi yang mematuhi undang-undang untuk terus beroperasi hanya kerana pencemaran yang dilakukan segelintir pengusaha.

Sebaliknya, katanya, penguatkuasaan perlu menyasarkan ladang yang melanggar undang-undang alam sekitar, bukannya mengenakan hukuman menyeluruh terhadap industri itu.

Chan mengulas cadangan Wan Saiful sebelum itu supaya semua kegiatan penternakan babi di kawasan parlimennya dihentikan susulan dakwaan pencemaran Sungai Kereh.

Ketika itu, Wan Saiful mendakwa sungai berkenaan mengalami “pencemaran kronik” akibat pelepasan sisa buangan tidak dirawat dan efluen industri daripada ladang babi berhampiran di Kampung Selamat, sehingga menjejaskan sumber pendapatan penduduk setempat. Bagaimanapun, Wan Saiful tidak menyertakan laporan makmal dan Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut mencadangkan kerajaan meliberalisasikan import daging babi bagi memastikan bekalan mencukupi dan peralihan keluar daripada industri itu berjalan lancar.

Dalam perbahasannya hari ini, Wan Saiful mempertikaikan kenyataan Chan bahawa hasil pemantauan mendapati keadaan di Parit Cina terkawal sejak semua ladang menghantar sisa ternakan ke loji biogas, tanpa pelepasan sisa ternakan yang signifikan.

“Walaupun Timbalan Menteri kata terkawal tapi kat rumah saya, rumah saya tak jauh daripada ladang tu. Buka pintu saja boleh bau busuk tu,” katanya.

Dia turut mendakwa penduduk berhampiran melihat air sungai bertukar hitam.

“Orang yang tak terkesan mungkin dia tak rasa apa-apa. Tapi kami yang duduk dekat kawasan itu menanggung kesan setiap hari. Sebab itulah kami tahu bahawa masalah ini sebenarnya tidak selesai,” katanya.

Wan Saiful berkata jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan penduduk Tasek Gelugor menjalankan sendiri ujian pencemaran di Parit Cina pada September dan Oktober.

Menurut dakwaannya, kedua-dua ujian mendapati pencemaran air masih berterusan.

Ketika menggesa ladang berkenaan ditutup segera, Wan Saiful merujuk langkah kerajaan Selangor menghentikan penternakan babi secara berperingkat di kawasan Tanjung Sepat, di samping membincangkan pemulihan tanah dan sumber pendapatan alternatif untuk penternak.

Katanya, pendekatan itu boleh menjadi model untuk dilaksanakan di Tasek Gelugor.

“Dan kita wajib pastikan, wajib pastikan bahawa penternak tidak ditinggalkan tanpa bantuan. Jangan zalimi mereka.

“Sebaliknya, kerajaan perlu menyediakan pelan peralihan yang adil, tempoh pelaksanaan yang jelas, penilaian tanah, bantuan kewangan yang bersesuaian dan latihan juga supaya mereka boleh beralih kepada penternakan atau pertanian lain,” katanya.