Kajian UUM: Ramai mahu Mukhriz jadi MB Kedah

   

Satu kajian oleh Universiti Utara Malaysia menyatakan bahawa anak kepada bekas perdana menteri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir merupakan pilihan ramai sebagai bakal calon menteri besar Kedah.

NONE Kajian yang dibentangkan oleh Prof Madya Dr Rohana Yusof itu dari UUM juga menyatakan bahawa BN lebih berpeluang untuk merampas Kedah dari tangan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

"Rakyat Kedah inginkan seorang menteri besar yang mampu menyelesaikan masalah mereka dan pada masa yang sama rajin menemui rakyat.

"Nada ini secara tidak langsung memberi gambaran ketidakupayaan menteri besar dari kerajaan PAS melaksanakan tanggungjawab yang diharap oleh pengundi," kata Rohana dalam slaid pembentangan kajiannya.

Kajian itu dijalankan ke atas 10,800 orang rakyat Kedah di 36 DUN, yang sebahagian besarnya berusia antara 21 hingga 34 tahun.

Ia membandingkan peluang Mukhriz dan tiga lagi pemimpin Umno Kedah – ketua perhubungannya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, ketua penerangan Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom dan ketua pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Seramai 67 peratus responden Melayu, 78 peratus responden Cina dan 71 peratus responden India memilih Mukhriz, manakala Ahmad Bashah mendapat peratusan kedua terbanyak, masing-masing 13, 11 dan 14 peratus dari setiap kumpulan kaum.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa 52 peratus daripada responden menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pentadbiran PAS negeri, manakala 59 peratus daripadanya berpendapat bahawa janji pilihan raya PAS masih belum dipenuhi.

Seramai 54 peratus lagi tidak mahu kerajaan pimpinan PAS dipilih semula, manakala 47 peratus menyatakan bahawa masa depan orang Melayu lebih baik di bawah pentadbiran BN.

Kedah, yang merupakan kubu kuat Umno sebelum ini jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

Rohana membentangkan kajiannya itu di program perbincangan anjuran Majlis Profesor Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Turut membentangkan kajian di sesi pagi pada program tersebut ialah rektor Universiti Islam Antarabangsa Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In