Usaha tolak Mat Sabu, Mahfuz kata tak tahu apa-apa

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak tahu apa-apa mengenai desas-desus pemimpin tertentu tidak menyenangi Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu untuk bertanding kerusi Parlimen Pendang dalam pilihan raya umum akan datang.

NONEMahfuz ketika ditemui selepas sidang media di ibu pejabat parti berkata, setiap calon yang bertanding bagi mana-mana kawasan ditentukan oleh PAS Pusat.

Selain itu, ketika ditanya mengenai usaha-usaha pihak tertentu yang tidak mahu Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu bertanding di kawasan itu, Mahfuz berkata beliau tidak tahu.

"Mana ada. Saya pun tak tahu (mengenai isu ini). Kenapa ada usaha nak singkir pula sedangkan yang menentukan soal siapa calon yang nak bertanding semua ialah PAS Pusat.

"Krisis? tak ada krisis PAS Kedah. Tak ada. Saya pun tak tahu benda ini. Saya belum baca," katanya ketika ditanya Malaysiakini.

Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan, mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan Pendang yang memutuskan untuk menawarkan Mat Sabu bertanding kerusi Parlimen berkenaan tidak disenangi pemimpin tertentu negeri itu.

NONEBagaimanapun menurut sumber yang rapat dengan PAS Pendang, mereka gagal memujuk PAS kawasan itu suapaya menukarkan keputusan tersebut dengan mengekalkan penyandangnya Dr Hayati Othman.

Dalam pada itu lagi, ketika ditanya siapakah calon yang sesuai untuk bertanding di kawasan Parlimen itu, Mahfuz dengan nada berseloroh berkata, sesiapa calon pun boleh bertanding di kawasan itu.

Beliau juga berkata, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat keputusan siapa akan bertanding di sesuatu kawasan melainkan PAS Pusat.

"Bagi saya calon semua (ditentukan) Pusat. Tak ada orang boleh menolak orang itu ini. Semua orang pun sesuai bertanding di Pendang. Sumber itu tak betul," kata Mahfuz lagi.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.