Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan: Yahudi 'iri hati' M'sia miliki Scorpene
Diterbitkan:  Sep 23, 2012 1:23 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Bekas orang kanan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari mendakwa NGO Suaram dan portal berita Malaysiakini menjadi "tali barut" Yahudi demi menggagalkan usaha Malaysia untuk memiliki kapal selam Scorpene.

Laporan edisi Ahad Utusan Malaysia hari ini menyebut, Anuar mengemukakan alasan bahawa NGO yang memfailkan saman di mahkamah Perancis ke atas pembuat Scorpene itu menerima dana daripada Open Society Institute.

Jelasnya, insititut berkenaan diasaskan jutawan George Soros yang berketurunan Yahudi.

Beliau turut memberi alasan bahawa National Endowmen for Democracy yang turut menyalurkan dana kepada Suaram juga dipimpin oleh seorang lagi tokoh Yahudi, Carl Gershman.

"Ini kerana sudah pasti anggota Suaram diberi imbuhan yang amat lumayan untuk menjadi tali barut Yahudi dan najis masyarakat," katanya seperti dipetik Utusan.

Anuar juga menyalahkan "pembuat kapal selam Yahudi dari barat" yang bertindak "tidak bermoral" dengan "menyerang" syarikat pembuat kapal selam Scorpene, DCNS.

Beliau mendakwa pembuat senjata berkenaan "iri hati" kerana Malaysia tidak membeli kapal selam daripada syarikat Yahudi.

"Kita tahu di Amerika Syarikat industri pertahanan rata-rata mempunyai kaitan dengan Yahudi.

"Mereka juga membiaya Suaram dan portal berita propembangkang Malaysiakini bagi tujuan sama agar negara tidak memiliki kapal selam dari Perancis kerana bimbang dengan serangan politik dan sebagainya.

Laporan itu juga memetik Anuar sebagai berkata:Mahkamah Perancis pada Mac lalu menerima kes difailkan Suaram yang mendakwa pembuat kapal selam itu, DCNS, membayar jutaan ringgit sogokan kepada pegawai tertinggi Malaysia yang terlibat dalam pembelian.

Bawah undang-undang Perancis, apa-apa bayaran atau komisen dianggap sebagai haram.

Bagaimanapun, tiada seorangpun menteri Malaysia memberi keterangan di mahkamah berkenaan bagi menafikan dakwaan tersebut.

ADS