Mungkin tukar MB: PAS kesal dengan Azmin

PAS hari ini menegur Timbalan Presiden PKR Azmin Ali ekoran kenyataannya berhubung kemungkinan menteri besar Selangor akan ditukar, kerana ia boleh mengelirukan orang ramai.

Setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan bersifat peribadi yang tidak pernah dibincangkan itu perlu dielak kerana ia boleh dianggap sebagai pendirian bersama Pakatan Rakyat.

NONEMustafa (kiri) turut dilaporkan kesal dengan kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei sebelum ini yang berkata, 20 pemimpin PKR akan menyertai kabinet.

"Ini juga tidak pernah kita bincangkan dan bakal memberikan implikasi negatif," Mustafa dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily.

Sinar Harian hari ini melaporkan, Abdul Khalid mungkin dipindahkan ke Pusat sekiranya Pakatan berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Keputusan itu, kemungkinan besar dibuat oleh gabungan DAP, PAS dan PKR atas kewibawaan dan kepakaran tokoh korporat itu menjadi ketua pentadbir negeri selama sepenggal ini, lapor harian itu.

Azmin berkata, perbincangan peringkat Pakatan ada ke arah itu, bagaimanapun masih belum diputuskan kerana "tidak sesiapa pun boleh menentukan kedudukannya hari ini sehingga keputusan PRU13 diumumkan".
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.