Wanita Umno Johor mahu tindakan tegas pada Nurul Izzah

Kenyataan mengelirukan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan agama diharap dapat membuka mata rakyat untuk menolak pemimpin yang gagal mempertahankan kesucian agama Islam.

Ketua Wanita Umno Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata kenyataan yang boleh memesongkan akidah umat Islam itu juga tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin Islam seperti Nurul Izzah kerana dikhuatiri menjadi ikutan khususnya oleh generasi muda.

Beliau berpendapat tindakan tegas harus dikenakan terhadap anggota Parlimen Lembah Pantai itu sebagai pengajaran kerana cuba memesongkan soal agama demi kepentingan politik dan cita-cita memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak tahulah bagaimana pendirian dia (dalam soal agama), tetapi nampaknya dia 'desperate' (terdesak) sangat hendak menang (pilihan raya) sehingga sanggup gadai akidah sedangkan dia tahu perkara ini boleh menjadi ikutan khususnya generasi muda yang taksub dengan beliau.

"Saya harap perkara ini dapat membuka mata rakyat...pemimpin yang sanggup menggadaikan maruah dan akidah harus ditolak," katanya kepada Bernama.

Sharifah Azizah mengulas kenyataan Nurul Izzah sebelum ini bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara itu juga patut terpakai kepada orang Melayu.

Anggota Parlimen Lembah Pantai itu di dalam forum "Negara Islam : Versi Mana, Tanggungjawab Siapa?", di Subang Jaya pada 3 Nov lepas juga dipetik sebagai berkata :"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata".

Menolak andaian 'terlepas cakap' dalam isu itu, Sharifah Azizah yakin Nurul Izzah bukan cetek pengetahuan agama, tetapi bertindak begitu untuk menunjukkan beliau bukan terlalu fanatik dalam Islam.

"Beliau bukan budak umur 10 tahun...saya tak percaya dia tak sengaja (mengeluarkan kenyataan) tetapi (sebaliknya) terpaksa berperwatakan begini untuk menunjukkan dia bukan terlalu fanatik pada Islam, menyokong pengamal seks bebas lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan agama..." katanya.

Beliau juga menyifatkan Nurul Izzah sengaja menegakkan benang yang basah dengan menyaman media arus perdana dan tidak mengambil tindakan terhadap portal propembangkang yang menyiarkan kenyataan kontroversinya itu baru-baru ini.

Pengerusi Biro Agama Wanita Umno Datin Paduka Mesrah Selamat pula secara peribadi berpendapat seorang pemimpin Islam yang gagal menjaga kepentingan agama Islam tidak layak menjadi pemimpin dan harus ditolak rakyat.

Merujuk surah Al-Kafirun yang isi kandungannya tidak diizinkan orang Islam berkompromi dalam bentuk mencampuradukkan ajaran agama, Mesrah berkata, pemimpin Islam yang tidak memahami surah itu perlu ditolak oleh rakyat tanpa mengira pegangan politik.

"Kita tidak boleh kompromi, berselindung agenda politik di sebalik agama...tidak kira di platform mana pun, kita bercakap dengan kelompok mana sekali pun, soal agama mesti cakap yang betul, kita tidak boleh kompromi," katanya.

Katanya kenyataan Nurul Izzah mungkin boleh memberi impak khususnya kepada anak-anak muda Islam.

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) pula menyifatkan kenyataan Nurul Izzah sebagai tidak bertanggungjawab dan biadab, sambil menggesa pihak berwajib membuat penyiasatan terperinci dan menyeluruh berhubung kenyataan berkenaan.

Kontroversi itu jika dibiar berterusan boleh memberi salah tanggapan mengenai Islam selain membuka ruang kepada pihak lain untuk menghasut orang Islam, kata Pembela dalam kenyataan media.

"Pembela tidak akan sekali-kali menerima sebarang petualang (termasuk ahli politik) untuk menangguk di air keruh, untuk memporak-perandakan ummah demi memenuhi niat jahat mereka, lebih-lebih lagi mereka yang sedia bersekongkol membantu merosakkan akidah dan memurtadkan kaum seagamanya," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhasbshee tidak menolak kemungkinan usaha menyebarkan fahaman liberalisme dan pluralisme di negara ini mendapat sokongan musuh Islam dari luar negara.

Katanya musuh Islam berkenaan tidak pernah berhenti berusaha menggugah akidah umat Islam dan memecah-belah perpaduan ummah, katanya sambil menambah kata golongan berkepentingan politik dalam negara pula mengambil kesempatan.

"Sudah tentu kenyataan Nurul Izzah berhubung kebebasan beragama  menggembirakan hati musuh Islam. Ia boleh memberi implikasi buruk terutama dalam soal akidah dan syariat umat Islam," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mahu pihak berkuasa menangani isu tersebut dengan serius kerana membabitkan kepentingan dan maruah umat Islam di negara ini.

Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menjalankan siasatan secara terperinci berhubung isu kontroversi itu.

Syed Ali berkata beliau kesal pemimpin-pemimpin PAS yang dikatakan ulama nampaknya lebih mementingkan kepentingan politik dalam menangani isu tersebut.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.