'Pengundi Sabah jadi kuasa penentu PRU13'

ULASAN Berikut adalah kenyataan Ketua Parlimen DAP dan Ahli parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang selepas menamatkan jelajah “Ubah” DAP selama tiga hari di Papar, Kota Belud, Inanam, Matunggung dan Kudat pada Selasa 13 November 2012:

Pengundi Sabah adalah kuasa penentu (kingmakers) dalam PRU13 yang akan menentukan siapakah yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan siapakah yang akan menjadi perdana menteri Malaysia.

Lawatan saya yang terkini ke Sabah serta tiga hari jelajah “UBAH” DAP bersama pemimpin DAP ke Papar (Kg. Tamui), Kota Belud (Kg Nahaba), Inanam, Matunggung (Kg. Pinaurat) dan Kudat, jelas menunjukkan RM7.28 bilion daripada Belanjawan Alternatif 2013 Pakatan Rakyat Sabah yang diumumkan bulan lepas, betul-betul tepat dan memberikan tekanan ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan pemimpin Barisan Nasional.

Sebagai contoh, dilaporkan di dalam sebuah suratkhabar Sabah pada hari Jumaat yang Musa telah memberikan dana berjumlah RM30.9 juta kepada 140 badan keagamaan bukan-Islam dan 266  sekolah termasuklah sekolah Cina persendirian dan sekolah mubaligh di Sabah – terdiri daripada RM18 juta kepada badan-badan keagamaan termasuklah gereja, rumah ibadat kaum Cina serta rumah-rumah ibadat bukan-Islam yang lain dan RM12.9 juta kepada sekolah-sekolah.

Walaupun Musa mengatakan “peruntukan yang besar untuk badan-badan keagamaan bukan-Islam mencerminkan komitmen kerajaan Barisan Nasional menegakkan kebebasan agama dalam negara ini”, jelas - sungguhpun lemah dan tidak memadai - merupakan respons kepada teras keempat daripada lima teras Belanjawan Alternatif 2013 Pakatan Rakyat Sabah iaitu “Memperkasakan masyarakat tempatan”.

Akan tetapi, kerajaan BN Sabah telah jauh ketinggalan daripada apa yang Belanjawan Alternatif PR Sabah usulkan.

Teras Belanjawan Alternatif PR Sabah “Memperkasakan masyarakat tempatan” mengusulkan peruntukan RM50 juta untuk sekolah vernakular, sekolah bantuan kerajaan, dan sekolah persendirian tetapi kerajaan BN Sabah telah bertindak balas dengan peruntukan hanya  RM12.9 juta.

Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat Sabah mengusulkan RM50 juta kepada  pertubuhan bukan-Islam (dan RM100 juta kepada pertubuhan umat Islam, termasuklah RM3 juta untuk pendanaan menunaikan Haji buat 300 orang bersamaan RM10,000 seorang) tetapi kerajaan BN Sabah hanya menawarkan RM18 juta untuk badan-badan keagamaan bukan-Islam.

Teras keempat Belanjawan Pakatan itu mempunyai 13 cadangan khusus yang belum menerima respon kerajaan BN Sabah, termasuklah:
  • Di bawah Skim Graduan Anak Sabah, RM2,000 akan diberikan kepada tiap-tiap pelajar yang melanjutkan pelajaran tinggi untuk seisi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Inisiatif ini dijangkakan menelan belanja RM14.4 juta dan dijangka memberikan manfaat kepada lebih kurang 7,200 pelajar.
  • RM50 juta untuk biasiswa kepada sesiapa yang mendapatkan pendidikan tinggi di dalam negeri. Keutamaan diberikan kepada bakal doktor dan guru.
  • RM20 juta dana untuk mempamerkan kepelbagaian kebudayaan melalui inovasi dan kreativiti.
  • RM40 juta untuk tujuan pemeliharaan budaya dan warisan.
  • Bantuan permulaan sebanyak RM20 juta untuk menubuhkan Sabah TV bagi tujuan menghasilkan program-program untuk mempamerkan warisan budaya dan kepelbagaian negeri ini.
Empat teras lain Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat Sabah mengandungi 30 lagi cadangan khusus untuk memastikan kekayaan Sabah diagihkan dengan saksama, pertumbuhannya dicergaskan semula dan golongan terpinggir di Sabah dikeluarkan daripada kemiskinan.

Walaupun Musa dan kerajaan negeri BN Sabah belum lagi memberikan respon yang sewajarnya dan setanding kepada cadangan-cadangan Belanjawan Alternatif 2013 PR Sabah, Ketua Menteri dan BN Sabah telah mula melancarkan perang mulut ke atas DAP dan Pakatan Rakyat.

Contohnya, Musa memberikan reaksi yang sangat tidak rasional dan janggal apabila saya mengatakan tentang perbezaan besar di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat apabila berdepan dengan cabaran besar Pilihan Raya ke-13, yang memperlihatkan sama ada BN kembali berkuasa atau digantikan dengan Pakatan Rakyat di Putrajaya.

Saya telah mengatakan apabila diuji perikatan politik yang mana bersedia untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi semua kepentingan lain, Umno dan BN yang begitu terdesak mahu terus berkuasa, mengambil jalan lama tetapi dengan taktik “Pecah dan Perintah” yang memecahbelahkan kaum dan agama yang pelbagai di negara ini, sementara parti-parti Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS tetap dengan matlamat dan mesej bersama untuk “Bersatu dan Perintah” kepada semua kaum, agama dan negeri, menekankan kepada keperluan untuk semua rakyat Malaysia bersepakat sebagai rakyat Malaysia yang satu bagi membina negara dengan satu visi yang sama.

Seorang lagi pemimpin BN yang menyimpan keinginan terhadap jawatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, turut memberikan respon kepada Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat Sabah, menyeru supaya ditolak janji PR untuk meningkatkan royalti minyak Sabah daripada lime kepada 20 peratus.

Shafie telah memberikan hujah paling mengarut mendakwa bahawa peningkatan royalti minyak Sabah kepada 20 peratus akan menyebabkan perpecahan antara Sabah dan negeri-negeri Malaysia yang lain.

Hujah Shafie penuh kecacatan, memandangkan Pakatan bukan sahaja menuntut agar royalti minyak untuk Sabah sahaja dinaikkan daripada lima kepada 20 peratus, tetapi juga buat semua negeri pengeluar termasuklah Sarawak, Terengganu, Kelantan dan tidak lama lagi, Pahang. Tambahan lagi, terdapat baki 80 peratus daripada royalti minyak yang boleh digunakan untuk pembangunan negara.

Setakat ini hanya Shafie saja pemimpin BN Sabah yang berani menentang kenaikan royalti minyak Sabah daripada lima kepada 20 peratus. Biarlah semua pemimpin BN Sabah mengisytiharkan pendirian mereka terhadap isu ini supaya pengundi Sabah boleh membuat keputusan sama ada mereka layak untuk disokong atau ditolak.

Semalam, sebuah akhbar Sabah memaparkan tajuk berita berkenaan kenyataan Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok: “Janji PR hanya bagus di luar Sabah’”.

Bernard tidak berniat sedemikian, tetapi hakikatnya beliau mengakui, yang Umno dan Barisan Nasional berdepan dengan pertempuran sukar kalaupun bukan kekalahan memenangi hati pengundi di Semenanjung Malaysia dan kini tinggal pengundi Sabah untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya tidak lama lagi.

Bernard teramatlah betul dan inilah sebabnya mengapa saya telah menekankan dalam ucapan-ucapan saya ketika jelajah UBAH di Papar, Kota Belud, Inanam, Matunggong dan Kudat sejak tiga hari lalu bahawa pengundi Sabah adakah kuasa penentu (kingmaker) di Malaysia memandangkan mereka akan bersama pengundi dari Sarawak dan Johor, membuat keputusan siapa akan membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan siapa akan menjadi perdana menteri Malaysia seterusnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengunjungi Kudat ketika lawatan terakhirnya ke Sabah, tetapi beliau tidak menjelajah melalui jalan raya untuk mengalami sendiri apa yang rakyat Sabah terpaksa alami – apa yang telah saya sebutkan sebelumnya sebagai “jalan terburuk di Malaysia” – jalan yang amat teruk dan bagaikan neraka di Ulu Kukut.

Sebaliknya, Najib terbang dengan helikopter, melepasi Ulu Kukut, sepertimana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin ketika lawatannya ke kawasan itu.

Selepas lawatan Ogos yang mana saya telah twit berkenaan keadaan jalan Ulu Kukut yang telah tujuh tahun dalam keadaan teramat teruk., kerajaan negeri Barisan Nasional memberikan jaminan bahawa projek penambahbaikan jalan sepanjang tiga kilometer  akan disempurnakan menjelang akhir September.

Akan tetapi, apabila saya menuju ke Kg Pinaurat di Matunggong dan Kudat pada hari Ahad, detik seakan-akan terhenti pada tiga bulan lalu di Ulu Kukut kerana tidak terdapat sebarang tanda penambahbaikan pada keadaan jalan yang teruk itu.

Malah Najib sendiri tidak berani menyebut tentang keadaan buruk jalan di Ulu Kukut ketika lawatannya ke Kudat bulan lepas, dan beliau memilih untuk mengumumkan bahawa satu kajian telah dijalankan ke atas lebuh raya pantai RM800 juta dari Tuaran menghubungkan Kota Belud ke Kota Marudu dan ke Kudat – memintas Ulu Kukut sepenuhnya.

Adakah perdana menteri juga telah berputus asa untuk menyiapkan penambahbaikan jalan raya di Ulu Kukut, yang dipercayai merupakan projek bernilai RM70 juta, dan adakah Ulu Kukut akan menjadi bukti nyata kegagalan kerajaan negeri BN Sabah pada PRU13?

LIM KIT SIANG adalah Ketua Parlimen DAP dan Ahli parlimen Ipoh Timor. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.



                                                         
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.