Mahkamah sekali lagi tolak injunksi interim ke atas Lynas

Bernama        

Mahkamah Tinggi Kuantan sekali lagi menolak dengan kos permohonan injunksi interim oleh penduduk Kuantan ke atas lesen operasi sementara (TOL) yang diberikan kepada Lynas Advanced Material Plant (LAMP) atau Lynas hari ini.

    

Hakim Datuk Mariana Yahya dalam penghakimannya memberi alasan injunksi itu ditolak atas sebab yang sama seperti permohonan mereka yang terdahulu.

    

"Permohonan injunksi ini sepatutnya dibuat ketika semakan kehakiman terhadap permohonan pihak plaintif (penduduk Kuantan) yang mempertikaikan status TOL yang diberikan kepada Lynas," katanya.

Pada 8 November lepas Hakim Mariana juga telah menolak permohonan sama yang difailkan oleh Tan Bun Tet, Syed Talib Syed Sulaiman dan Hasimah Ramli sebelum ini, sekaligus membenarkan kilang Lynas di Gebeng, dekat Kuantan beroperasi.

    

Dalam pada itu Mariana juga menetapkan 30 November ini sebagai tarikh pengurusan kes untuk menentukan tarikh sebenar semakan kehakiman bagi permohonan penduduk Kuantan untuk membekukan TOL bagi menghentikan operasi Lynas.

    

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In