Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

dikemaskini Satu usul untuk menghentam lidah partinya, Harakah diluluskan sebulat suara dalam perbahasan Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu hari ini.

Usul berkenaan, yang dikemukakan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad, mendakwa mutu pemberitaan Harakah merosot dan media itu juga "kurang kredibiliti" sebagai lidah parti.

NONE Salinan senarai usul berkenaan, yang diperolehi pemberita, juga mendakwa Harakah tersasar dari matlamat penubuhannya.

Selain itu, usul itu juga menyebut Harakah "tidak membawa aspirasi jemaah dalam memacu kebangkitan gerakan Islam abad ke-21".

Usul berkenaan seterusnya mendesak pimpinan parti supaya menstruktur semula sidang redaksi Harakah .

Ia turut menggesa supaya PAS membentuk jawatankuasa khas untuk menapis kandungan akhbar tersebut, termasuk edisi dalam taliannya, Harakahdaily .

Harakah sebelum ini diserang oleh bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali sejurus sebelum dipecat daripada parti tersebut.

Hasan antara lainnya menyifatkan Harakah sebagai akhbar yang memberi kurang liputan kepadanya berbanding media arus perdana.

Harakah juga, kata Hasan, memberi lebih liputan kepada parti komponen Pakatan Rakyat dan bukannya ahli partinya sendiri.

Harakah pada Disember lalu turut dikritik timbalan ketua pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz kerana menerbitkan karikatur yang menyindir bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa.

Nasharudin, seperti juga Hasan, mengkritik PAS kerana bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dan menyeru parti Islam itu supaya meninggalkan Pakatan.

Antara pemimpin yang menyertai perbahasan usul tersebut ialah wakil PAS Mersing Mohd Yani Abdul Rahman yang mempertahankan Harakah.

[Baca berita penuh]

ADS