MP: Mengapa MB diam isu roboh altar?

MP Puchong Gobind Singh Deo menyelar Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang masih berdiam diri dalam isu perobohan satu altar Hindu di Sepang pada bulan lalu.

Katanya, Khalid memilih untuk berdiam diri walaupun isu berkenaan begitu serius dan perobohan berkenaan dikutuk BN dan Pakatan Rakyat.

"(Langkah) berdiam diri oleh menteri besar dalam situasi seperti ini, pada fikiran saya jelas tidak boleh diterima," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Exco kerajaan negeri Xavier Jayakumar pada Khamis lalu mengutuk tindakan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) yang meruntuhkan altar berkenaan.

Seramai 30 pegawai penguatkuasa MPS memasuki kediaman berpagar seorang penganut Hindu, Umah Devi pada 20 November di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, dan meruntuhkan altar kecil tersebut.

Menurut Xavier, kerajaan negeri mengarahkan semula kerajaan tempatan supaya tidak meruntuhkan tempat ibadat yang didirikan sebelum 2008.

Gobind mempersoalkan mengapa pegawai MPS berkenaan mengambil tindakan yang bertentangan dengan arahan kerajaan negeri.

"Mengapa mereka lakukannya? Beliau (Khalid) juga perlu menunjukkan bahawa beliau serius dan bertindak ke atas golongan yang ingkar arahan," kata Gobind.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.