Isu altar: MP akui gesa Khalid letak jawatan

MP Kapar S Manikavasagam hari ini mengakui bahawa beliau memberi kata dua kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung isu perobohan satu altar Hindu di Sepang dalam satu ucapannya di Putrajaya semalam.

NONENamun Manikavasagam menjelaskan bahawa beliau bermaksud supaya Khalid meletak jawatan sekiranya gagal mengambil tindakan berhubung isu tersebut.

"Sekiranya gagal menyiasat dan memberi hukuman kepada pegawai yang merobohkan, MB mesti letak jawatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri untuk menyiasat dan menghukum pegawai yang terlibat dalam tindakan tersebut.

Manikavasagam mengulas dakwaan ketua Pemuda MIC T Mohan bahawa beliau memberi kata dua itu pertemuan MP tersebut dengan beberapa pemimpin Pemuda MIC di Putrajaya semalam.

Individu berkenaan bertemu semasa perhimpunan 500 orang yang berarak ke Jabatan Pendaftaran Negara berhubung isu masyarakat India tanpa taraf kerakyatan semalam.

NONEMohan dalam sidang media hari ini turut menayangkan rakaman video yang didakwa menunjukkan MP PKR menyatakan perkara itu.

Mohan turut mengedarkan transkrip yang didakwa sebagai percakapan Manikavasagam, yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, kepada pemberita.

Namun, kandungan sebenar ucapan berkenaan tidak dapat dipastikan oleh pemberita.

Dalam sidang media tersebut, Mohan turut menggesa menteri besar supaya meminta maaf dalam isu perobohan altar berkenaan.

"Sekarang tidak ada kenyataan (daripada Khalid). Kalau buat salah kena minta maaf, jangan tutup," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.