Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali akan mempertahankan kerusi yang diwakilinya itu dalam pilihan raya umum ke-13 yang bakal menjelang.

Presiden PERKASA itu berkata beliau tetap akan bertanding walaupun sebagai calon bebas, namun akan turut berunding dengan mana-mana parti yang ingin mengadakan kerjasama dengannya.

"Nak berunding saya kena tengok dulu dasar perjuangan, tindak tanduk... Tengok dasar perjuangan, boleh berunding dan berkongsi dengan sesiapa sahaja dalam pilihan raya akan datang

"(Jika) tidak ada perkongsian, saya bebas, saya solo, saya tetap akan bertanding walaupun saya seorang diri.

"Saya tetap bertanding walaupun 10 atau 15 penjuru, tetapi terbuka untuk bekerjasama dengan orang mahu bekerjasama dengan saya," katanya.

Ibrahim turut mendakwa Umno telah "melukakan hatinya" kerana menggugurkan beliau daripada jawatan ketua bahagian Pasir Mas semasa persempadanan semula kawasan pilihan raya dijalankan sebelum ini.

Susulan itu, beliau kemudiannya bertanding atas tiket PAS pada 2008 dan memenangi kerusi tersebut hasil kerjasama "menang-menang" dengan parti Islam tersebut, katanya.

Ibrahim berkata beliau juga tidak sepatutnya dianggap sebagai "kacang lupakan kulit" kerana PAS, dakwanya, mendapat keuntungan daripada perkara itu.

"Sokongan saya kepada PAS, tidak sedikit yang mereka dapat. Kena tengok sejarah. Kena teliti betul-betul," katanya.

Beliau juga mendakwa menjadi "mangsa cemburu" pihak tertentu atas prestasi dan khidmat yang diberikannya selama ini.

"Siapa yang melukakan siapa? Dua-dua parti ini melukakan saya. Saya tidak pernah melukakan Umno, Umno melukakan saya," katanya.

Ibrahim bercakap dalam satu sidang media selepas majlis perasmian persidangan agung PERKASA hari ini.

Dalam majlis perasmian itu, beliau mengetuai sekumpulan 5,000 perwakilan dan pemerhati ke mesyuarat agung PERKASA untuk membaca ikrar bagi menyokong BN dalam pilihan raya umum ke-13.

ADS