Najib sedia dengar pandangan masyarakat Kristian

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sentiasa terbuka untuk berkongsi harapan serta pandangan daripada masyarakat Kristian.
    
Perdana menteri berkata meskipun semua menyedari bahawa Malaysia adalah sebuah negara majoriti Islam, namun penganut agama Kristian di negara ini juga memainkan peranan penting dalam masyarakat di negara ini hari ini terutama di Sabah dan Sarawak.
    
"Sesetengah daripada kita tidak menyedari bahawa seorang daripada 10 rakyat Malaysia adalah penganut Kristian. Ini semua tercatat dalam sejarah kita yang pelbagai," katanya dalam entri terbaharu bertajuk "Selamat Hari Krismas Kepada Penganut Agama Kristian di Malaysia" dalam laman blognya www.1Malaysia.com.my hari ini.    
    
Najib berkata Malaysia sangat bertuah kerana sentiasa berada dalam suasana aman dan harmoni meskipun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan agama dan segala yang dikecapi pasti tidak dapat dinikmati tanpa sebarang usaha secara bersama.

Beliau berkata sejak menjadi perdana menteri, beliau telah menekankan beberapa perkara termasuk konsep perpaduan menerusi semangat 1Malaysia serta Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

"Konsep ini bukan hanya mengenai dialog tetapi saya mahu ia menjadi kenyataan.
    
"Sebab itulah, saya melawat Pope Benedict XVI tahun lepas, sekaligus mewujudkan hubungan diplomatik secara rasmi dengan Vatican City. Saya sangat gembira dapat meluangkan masa secara peribadi bersama beliau dan kini mula mengikutinya melalui Twitter," katanya.
    
Satu lagi pencapaian yang dikecapi adalah apabila kerajaan membenarkan mana-mana penganut agama Kristian ke Jerusalem sekiranya mereka mahu menunaikan  ibadat di sana.
    
Dengan perayaan Krismas yang hadir pada minggu terakhir setiap tahun, ia juga adalah masa terbaik untuk sama-sama menilai semula pencapaian sepanjang tahun ini serta merancang untuk masa depan.

"Saya akan menyentuh perkara ini dalam blog saya akan datang, katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian di Malaysia.
    
Esok, beliau akan menghadiri jamuan teh bersama masyarakat Kristian selain mendengar setiap pandangan daripada mereka.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.