Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SYABAS jangka bekalan air pulih dalam tempoh seminggu

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menjangka bekalan air yang terjejas kepada lebih setengah juta penduduk di 90 kawasan sekitar ibu negara dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

    

Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS, Datuk Ruslan Hassan berkata kerosakan di dua rumah pam iaitu di Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru dijangka dapat diatasi selewat-lewatnya hari ini tetapi proses penyaluran air ke kawasan terlibat mengambil masa seminggu.

    

"Proses penyaluran air ke kawasan-kawasan yang terlibat selepas kerja pembaikan dilakukan akan mengambil masa paling cepat seminggu... tempoh masa diperlukan untuk mengisi semula paip-paip dan kolam-kolam yang kosong," katanya dalam sidang media hari ini.

    

Ruslan berkata pihaknya menyediakan 40 lori tangki milik Syabas selain lori sewa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak swasta untuk menghantar air kepada penduduk.

    

"Saya juga telah berjumpa dengan pihak kerajaan Selangor dan hasil mesyuarat pagi ini, mereka bersetuju untuk menghantar tujuh buah lori (untuk membekal air)," katanya.

Selain itu, Syabas turut menempatkan 110 tangki statik di lokasi-lokasi strategik sekitar kawasan terlibat bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air.

    

Mengulas kerosakan di rumah pam, Ruslan berkata kerosakan di rumah pam Wangsa Maju berlaku pada 29 Dis lalu dan kerosakan kedua dikesan berlaku di rumah pam sama pada jam 3.15 petang semalam (1 Januari).

    

Masalah ketiadaan air diburukkan lagi apabila rumah pam Pudu Hulu Baru mengalami kerosakan pada papan suis utama pada jam 1.30 petang Selasa, dipercayai berlaku selepas kerja-kerja penyelengaraan pencawang elektrik berhampiran oleh Tenaga Nasional Berhad.

    

Antara kawasan terjejas ialah di Flat DBKL Datuk Keramat, Jalan Semarak, Kampung Pandan Dalam, Taman Shamelin, Bandar Sri Permaisuri, Desa Pandan, Taman Tenaga, Taman Miharja, dan Jalan Ampang Hilir.

    

Taman Muda, Taman Seraya, Taman Bukit Permai, Taman Melur, Taman Teratai, Taman Mega Jaya, Taman Saga dan Kampung Cheras Baru.

    

Kampung Kemensah, Kampung Baru Ampang, Taman Datuk Ahmad Razali, Bukit Indah, Taman Rasmi Jaya, Taman Watan, Wangsa Melawati, Taman Bukit Ampang, Taman Ampang Mewah, Ukay Heights dan Beverly Heights.  

- Bernama

ADS