SYABAS selesai baikpulih dua rumah pam

Kerosakan di dua rumah pam yang menjadi punca krisis air di ibu negara sejak 29 Dis lepas selesai diperbaiki bagi membolehkan ia beroperasi semula, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor
(SYABAS).

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred berkata bekalan air dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat ke semua kawasan terbabit dalam tempoh lima hari.

Katanya kerosakan di rumah pam Wangsa Maju siap dibaiki pada jam 11.45 pagi semalam manakala Pudu Hulu Baru selesai jam 5 pagi ini.

Kedua-dua rumah pam telahpun beroperasi semula tetapi rumah pam Wangsa Maju beroperasi pada kapasiti yang lebih rendah iaitu 170 juta liter sehari (JLH) berbanding kadar biasa melebihi 200JLH, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata bagi membantu penduduk yang terjejas, SYABAS menggerakkan sebanyak 40 buah lori tangki air dan menyediakan 174 buah tangki air statik ke kawasan terjejas.

Katanya sejak semalam SYABAS turut mendapat bantuan daripada syarikat air lain seperti Lembaga Air Perak yang memberi bantuan empat buah lori tangki air, Syarikat Air Melaka Berhad yang menyumbangkan dua buah lori, Syarikat Air Johor lapan buah lori dan Syarikat Air Negeri Sembilan dua buah lori.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.