Najib: Saya sihat, jangan dengar dakwaan blog

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa beliau berada dalam keadaan sihat.

Pada masa yang sama, beliau meminta semua pihak supaya "tidak mendengar" dakwaan blog tertentu berhubung keadaan kesihatannya yang didakwa terjejas.

NONE"Jadi Bursa Malaysia sihat, sewaktu pasaran dalam keadaan cukup sihat, sukuk sihat. Saya juga sihat. Jangan dengar (dakwaan) blog, tolonglah," katanya yang diiringi dengan gelak ketawa hadirin.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama dalam satu majlis pelancarkan Bon/Sukuk Yang Diniagakan di Bursa (ETSB) di Bursa Malaysia pagi ini.

Blog politik Sarawak Report beberapa hari lalu dalam satu tulisannya mendakwa Najib yang juga presiden Umno diserang "minor stroke".

Tulisan bertarikh 5 Januari itu menimbulkan spekulasi bahawa ia adalah kesan daripada tekanan yang dialami Najib ekoran siri pendedahan oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan melibatkan perdana menteri dan keluarga.

Sementara itu, akhbar The Malay Mail hari ini pula memetik kenyataan setiausaha akhbar perdana menteri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad bahawa bosnya itu berada dalam keadaan sihat.
 
Malah, Najib juga dilapor hadir dalam perhimpunan mingguan Jabatan Perdana Menteri pagi semalam.
 
"Sudah tentu tidak ada apa-apa yang tidak baik dengannya. Perdana menteri kita sihat.
 
"(Dakwaan) ini semuanya mengarut dan saya menggesa umum supaya jangan mendengarnya dan mengabaikan desas-desus ini," katanya dipetik.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.