Kedutaan Jepun tak pernah sahkan pampasan RM207b

Kedutaan Jepun hari ini berkata pihaknya "tidak pernah mengesahkan" pemberian pampasan kepada kerajaan Malaysia sebagai pampasan kepada warga Malaya yang menjadi buruh paksa membina 'Landasan Keretapi Maut'.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha kedua kedutaan Takaharu Suegami berkata pampasan wang RM207 bilion yang didakwa bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
itu, adalah di luar penglibatan dan pengetahuan kerajaan Jepun.

death railway"Kami mengingatkan kamu, bahawa pihak kedutaan tidak pernah mengesahkan RM207 bilion telah dibayar kepada kerajaan Malaysia sebagai pampasan kepada mangsa projek 'Landasan Keretapi Maut'," katanya.

Kenyataan itu dihantar kepada Ketua pengarang Harakahdaily Ahmad Lutfi Othman, yang diperolehi Malaysiakini.

Suegami mengulas kenyataan Mohammad Nizar yang dilaporkan Harakahdaily pada 3 Januari dan semalam.

Mohammad Nizar sebelum ini mendakwa bahawa kerajaan Jepun membayar pampasan kepada kerajaan Malaysia ada tahun 1990-an.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu sama ada wang tersebut masih disimpan kerajaan atau telah diagihkan kepada mangsa.

death railway cemeterySuegami berkata pampasan bagi negara bekas tanah jajahan British sepanjang perang itu telah dibayar sepenuhnya di bawah Perjanjian San Francisco yang berkuatkuasa pada 1952.

Jelasnya, kedua-dua negara menandatangani perjanjian untuk mempromosi kerjasama ekonomi pada 21 September 1967, di mana Jepun bersetuju untuk membekalkan geran produk dan perkhidmatan kepada Malaysia bernilai RM25 juta.

Katanya, penyusunan pelaksanaan perjanjian itu diuruskan kedua-dua negara dan kerajaan Malaysia bersetuju bahawa semua persoalan berbangkit berkaitan peristiwa berkenaan, yang mana boleh mempengaruhi hubungan baik kedua-dua negara, semuanya telah dipenuhi dan diselesaikan.

"Semua tawaran mengikut urutan seperti termaktub dalam perjanjian, telah disempurnakan pada 6 Mei 1972," kata Suegami.

Pihaknya juga kesal dan memohon maaf terhadap kerosakan yang teruk dan penderitaan disebabkan penjajahan dan pencerobohan banyak negara khususnya negara Asean.

Kenyataan itu juga menyifatkan projek landasan tersebut sebagai satu "peristiwa sedih".

Pihaknya juga berazam akan memastikan bahawa sejarah seperti itu tidak akan berulang seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Jepun, Tomiichi Maruyama pada 15 Ogos 1995, katanya.

"Jepun telah membuat usaha terbaik untuk membina hubungan yang berorientasikan masa depan dan kerjasama dengan negara Asia dan akan terus berusaha untuk mencapai keamanan dan kemakmuran dunia pada masa hadapan," katanya lagi.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.