'Bazir wang rakyat' - Rafizi persoal alasan buat pasukan petugas khas baru siasat jenayah kewangan
Rafizi Ramli mempersoalkan niat kerajaan menubuhkan satu lagi pasukan petugas khas untuk menyiasat jenayah kewangan, ketika skandal "mafia korporat" terus menjadi perhatian.
Pemimpin parti Bersama itu berkata beberapa siasatan telah dijalankan sejak skandal berkenaan timbul awal tahun ini, dan mempersoalkan sama ada siasatan terbaru itu bertujuan menutup isu yang belum terungkai dan mengalih perhatian masyarakat.
Rafizi, yang juga bekas timbalan presiden PKR, berkata pelantikan Peguam Negara Dusuki Mokhtar untuk mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan Jenayah Kewangan yang baru menimbulkan beberapa persoalan.
Antaranya ialah status siasatan dan laporan terdahulu berkaitan skandal itu, khususnya laporan mengenai pegangan saham bekas ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang telah dibentangkan kepada jemaah menteri.
"Adakah skop jawatankuasa ini diperluaskan kepada keseluruhan jenayah kewangan dan bukan mengenai skandal mafia korporat semata-mata?
"Berapa banyak pembaziran wang rakyat sekiranya siasatan dimulakan semula, sedangkan pelbagai laporan dan siasatan telah pun dibuat sebelum ini?
"Sekiranya skop diluaskan kepada keseluruhan jenayah kewangan (seperti gambaran dari jawapan Perdana Menteri di Parlimen minggu lepas), adakah ini satu cubaan untuk menutup isu sebenar mengenai mafia korporat dan mengalihkannya kepada siasatan jenayah kewangan?" soalnya.
Kenyataan Rafizi itu menyusul sehari selepas Dusuki mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas khas berkenaan.
Rafizi turut menuduh kerajaan cuba mengelirukan masyarakat dengan menyamakan skandal mafia korporat dengan isu jenayah kewangan yang lebih luas.
Merujuk pemantauannya terhadap hantaran media sosial individu yang didakwanya sebagai tentera siber kerajaan, Rafizi berkata naratif yang dibawa kelihatan beralih kepada isu jenayah kewangan secara umum, dan bukannya skandal mafia korporat itu sendiri.
Dia memberi amaran kepada perdana menteri bahawa sekiranya itu memang niat kerajaan, tindakan sedemikian hanya akan meningkatkan kemarahan rakyat terhadap skandal berkenaan.
Lima persoalan untuk kerajaan
Rafizi menggariskan lima persoalan asas yang menurutnya perlu dijawab oleh kerajaan.
Antaranya ialah dakwaan bahawa ahli perniagaan merangkap bekas setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, telah mencampuri urusan kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang, serta dakwaan bahawa agensi seperti polis dan SPRM digunakan untuk mengugut pemilik syarikat dan pemegang saham demi kepentingan pihak tertentu.
Dia membangkitkan dakwaan ahli perniagaan Victor Chin bahawa seorang menteri kabinet menerima rasuah RM9.5 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan mafia korporat.
"Siasatan yang berjaya merungkai lima persoalan ini sewajarnya berakhir dengan pendakwaan dan bukti-bukti untuk dibawa ke mahkamah, memandangkan butiran dan dokumen mengenai skandal korporat telah dilaporkan secara meluas.
"Sebaliknya, jika lima persoalan ini tidak dijawab dan kerajaan dilihat menggunakan helah untuk menutupnya, segala usaha kerajaan untuk meredakan tumpuan rakyat kepada skandal mafia korporat ini akan gagal," kata Rafizi.
Azam menolak dakwaan yang mengaitkan pegawai SPRM dengan skandal mafia korporat sebagai tidak berasas, selain menafikan sebarang salah laku berhubung pegangan sahamnya dalam Velocity Capital Partner Bhd. Dia turut memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporannya.
Sementara itu, Farhash menafikan mempunyai urusan perniagaan dengan Azam atau cuba mengambil alih NexG Bhd. Dia turut mengeluarkan surat tuntutan terhadap Channel News Asia berhubung laporannya.
Menteri Sumber Manusia R Ramanan juga menafikan dakwaan dia meminta RM10 juta daripada Chin bagi menyelesaikan isu berkaitan mafia korporat.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/07/a52d5d26746db717d8c9972b8bdd86cd.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.