Syarat guna Stadium Merdeka tidak lebihi 30,000

Pemilik Stadium Merdeka dan pihak pengurusan Stadium Nasional di Bukit Jalil masing-masing tiada halangan meluluskan permohonan untuk menggunakan stadium berkenaan untuk menganjurkan perhimpunan Sabtu ini.
    
Bagaimanapun, kedua-dua pengurusan menegaskan pentingnya penganjur mematuhi syarat penggunaan stadium dan prosedur tempahan.
    
Merdeka Heritage Trust, dalam kenyataan berkata antara syarat bagi Stadium Merdeka ialah penganjur mesti memastikan jumlah pengunjung/peserta tidak melebihi 30,000 orang.
    
"Syarat ini mengambil kira kapasiti stadium tersebut yang hanya boleh menampung seramai 30,000 orang bagi memastikan struktur dan harta benda Stadium Merdeka yang diwartakan sebagai hartanah warisan kebangsaan sentiasa dijaga dan dipelihara," menurutnya.
    
Menurut kenyataan itu, penganjur memohon menggunakan premis itu mulai pukul 2 hingga 5 petang Sabtu ini.
    
Pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia berkata pihaknya menerima permohonan daripada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu melalui surat rasmi untuk menggunakan Stadium Nasional sebagai lokasi perhimpunan.

"Permohonan tersebut menyatakan pihak mereka hendak mengadakan perhimpunan pada 12 atau 19 Jan," menurut kenyataan perbadanan itu.
    
"Penganjur perlulah mematuhi prosedur tempahan atau penggunaan seperti menjelaskan deposit dan bayaran sewaan, memastikan tidak berlaku kerosakan ke atas harta milik awam, tidak mengganggu-gugat lain-lain pihak yang berada di sekitar kompleks serta syarat lain yang ditetapkan dalam Borang Tempahan Acara," menurut kenyataan itu.
    
Dalam pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam, polis menasihatkan penganjur perhimpunan itu supaya mematuhi peraturan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memastikan ketenteraman awam dan hak kebebasan orang lain tidak terjejas.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.