Pemuda MIC: Jangan pandang rendah suara mahasiswa

Timbalan Ketua Pemuda MIC V.Mugilan berkata adalah penting suara mahasiswa diberi perhatian apabila ia menyentuh mengenai pembaharuan pendidikan dan pembangunan negara.
    
Pendapat mereka perlu didengar kerana ia akan membantu mengubah persepsi dan menyediakan idea kreatif bagi menambah baik masa depan mereka di negara ini.
    
NONEBeliau menegaskan sistem pendidikan dan negara boleh memenuhi keperluan kebanyakan mahasiswa dengan menggalakkan kebebasan dan berdikari dan mampu menyuarakan pendapat dengan bebas.
    
"Bagaimana kita nak harap mereka menjadi warganegara yang boleh didekati pada masa depan jika kita tidak membenarkan mereka turut serta dalam perbincangan mengenai dasar-dasar yang memberi kesan kepada mereka hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
    
Mugilan mengulas klip video 24 minit yang menunjukkan pertikaman lidah antara anggota panel Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dan pelajar undang-undang Universiti Utara Malaysia KS Bawani, yang menjadi topik hangat perbincangan dalam forum Internet dan Facebook.
    
"Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengiktiraf bahawa
mahasiswa di universiti-universiti tempatan telah menjadi lebih vokal dan kritikal tentang kerajaan dan melonggarkan beberapa undang-undang membenarkan pelajar menyertai politik.
    
"Kami (MIC) kecewa dengan Sharifah Zohra, sebagai seorang anggota panel, tidak dapat mengawal keadaan secara bijaksana dan berdiplomasi," katanya.
    
Tinjauan ke atas Facebook menunjukkan forum, bertajuk ‘Seiringkan Mahasiswa dan Politik' berlangsung pada 8 Dis dan video mengenai sesi soal jawab itu hanya dimuatnaik dalam YouTube, Rabu lepas.
    
Pagi ini, lebih daripada 170,000 pendapat mengenai video itu telah menarik sejumlah besar "dislikes".
    
Satu laman diwujudkan dalam Facebook - 'Kami mahu Sharifah Zohra Jabeen memohon maaf secara terbuka kepada Cik Bavani', dengan 26,814 'likes' pada laman itu.
    
- Bernama

1. Klip panelis 'tegur' pelajar hangat di Internet

2. Umno jauhkan diri dari Sharifah Zohra tapi...

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.