Bekas pegawai JPN dakwa SPR arah beri IC

Seorang bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini memberi keterangan berhubung dakwaan kerjasama pihak berkuasa untuk mengubah demografi pemilih Sabah pada tahun 1990-an.

Mohd Nasir Sugip ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai masalah imigrasi Sabah hari ini mendakwa jabatannya pernah menerima arahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing untuk membolehkan golongan itu mengundi.

Mohd Nasir yang pernah ditahan bawah ISA sebelum ini mendakwa operasi yang digelar "Ops Durian Buruk" itu dijalankan antara tahun 1992 hingga 1995.

Dakwanya, pengarah SPR Sabah pada masa itu, Wan Ahmad Wan Yusof menyerahkan senarai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi "Bumiputera Islam".

"Bos saya, pengarah JPN Sabah Ramli Kamarudin kemudiannya secara lisan memberitahu saya untuk menjalankan projek ini," katanya.

Mohd Nasir turut mengaitkan tiga lagi individu yang hadir ketika arahan itu dikeluarkan.

Bagaimanapun, nama individu berkenaan tidak dapat diperolehi memandangkan pegawai RCI – wakil daripada pejabat peguam negara – enggan memberi kerjasama.

Katanya, beliau mengikut arahan tersebut dan mengambil pegawai yang tidak dinamakan di peringkat negeri untuk operasi berkenaan.

Mohd Nasir mendakwa, operasi berkenaan melibatkan tindakan memberi kad pengenalan kepada pendatang asing dan mengeluarkan nombor kad pengenalan berdasarkan tarikh lahir, foto dan nama yang diberikan SPR.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.