Penjara baru najib: Apa untung, rugi buat Umno?
Umno dilihat mempertaruhkan sesuatu yang besar apabila bersungguh-sungguh mahu membawa bekas presiden mereka keluar dari Penjara Kajang dan menghabiskan tempoh hukumannya di rumah - hanya beberapa kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Ia berlaku ketika Umno-BN sudah mengalami kekalahan besar dalam dua PRU, dan akhir-akhir ini kembali menjalin kerjasama erat dengan PAS - yang sudah menguasai PN.
Hubungan antara parti dalam kerajaan juga dilihat semakin tegang ekoran serangan terbuka antara satu sama lain di sebalik hakikat Umno-BN sedang mentadbir negara dengan PH dalam kerajaan perpaduan.
Akhirnya pada 10 Nov lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah untuk merealisasikan keinginan Najib Razak dan Umno untuk ahli politik terbabit ditahan di rumah di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Semua bangunan rumah itu dan kawasannya - seluas hampir 50,000 kaki persegi - diwartakan sebagai penjara oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Nov lalu.
Mengulas perkembangan itu, ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abu Hafiz Salleh Hudin, berpandangan keputusan membawa Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah tidak memberikan nilai tambah kepada imej Umno, bahkan berisiko memburukkan lagi persepsi masyarakat terhadap parti itu.
Menurutnya, usaha Umno memulihkan imej sejak kalah buat pertama kali pada 2018 dilihat mula menunjukkan perkembangan positif, namun isu terbaru membabitkan Najib boleh merencatkan usaha berkenaan.
“Keadaan ini, pada pandangan saya, memburukkan lagi keadaan buat Umno dan tidak memberikan nilai tambah terhadap usaha mereka memulihkan imej," katanya kepada Malaysiakini.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub, pula berpendapat keputusan itu mempunyai dua implikasi politik terhadap Umno.
Dalam kalangan penyokong tradisional, khususnya kelompok yang masih setia kepada Najib, katanya, perkembangan terbaru itu boleh memperkukuh solidariti dan semangat akar umbi parti.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/04/51689f5dca303d338c262a2f3c506a69.jpg)
Namun, katanya, Umno juga perlu sedar bahawa dalam kalangan masyarakat yang menitikberatkan integriti, ketelusan dan prinsip keadilan, keputusan tersebut boleh menghidupkan semula persepsi negatif terhadap parti berkenaan.
“Cabaran utama Umno ialah untuk mengimbangi kesetiaan mereka kepada bekas pemimpin dengan usaha membina semula keyakinan rakyat terhadap parti itu sebagai sebuah institusi politik,” katanya kepada Malaysiakini.
Berlainan pula pandangan seorang lagi penganalisis politik dari UIAM, Prof Madya Syaza Farhana Mohamad Syukri yang berpendapat peralihan tempat pemenjaraan Najib tidak akan mengubah pandangan penyokong kepada Umno.
Malah dia berpendapat isu itu sudah terlalu dipolitikkan pihak lawan ketika penyokong Umno tetap percaya bahawa Najib memang layak mendapat kelonggaran melalui tahanan rumah.
Pada masa sama, katanya, penyokong PH akan terus mengkritik isu berkenaan.
“Bagi golongan atas pagar, saya percaya lebih ramai yang tidak bersetuju (Najib ditahan di rumah) maka ia mungkin mencalar imej Umno,” katanya.
Syaza Farhana turut mengingatkan walaupun kesan kepada Umno mungkin tidak signifikan, parti itu masih dibayangi dengan beberapa “skandal” lain seperti isu Lembaga Tabung Haji, Felda dan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Kredibiliti Zahid dan pemimpin progresif
Berkenaan kredibiliti Umno dan pemimpinnya, Abu Hafiz berkata, pendirian Umno diyakini akan banyak mengganggu usaha beberapa tokoh parti itu yang dilihat progresif untuk membina semula keyakinan rakyat.
Katanya, beberapa tokoh dalam Umno memang ada menunjukkan usaha membawa imej baru kepada rakyat selepas kalah pada 2018 dan 2022, namun dengan apa yang terjadi baru-baru ini, mereka berdepan kritikan dan pandangan sinis khususnya di media sosial.
"Ia sangat-sangat mengganggu usaha Umno ingin memulihkan imej mereka yang terpalit dengan cukup lama dengan pelbagai isu seperti salah guna kuasa dan rasuah," katanya.
Mengulas kedudukan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Abu Hafiz berkata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mungkin tersepit di antara keinginan memperbaharui imej parti dengan tekanan untuk membela Najib.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/04/64727050fd4f5e729c6420a7d9c4f744.png)
Abu Hafiz turut berpandangan perkembangan itu boleh menjejaskan keyakinan pengundi muda dan pengundi senyap (silent voters) terhadap Umno memandangkan golongan terbabit mempunyai kesedaran untuk menilai isu integriti dan rasuah.
Katanya, Umno tidak boleh mengambil mudah atau memandang rendah pengundi muda dari segi keupayaan memahami perkembangan politik semasa, termasuk isu yang membabitkan kepimpinan dan akauntabiliti.
Bagaimanapun, pensyarah itu berkata, kesan sebenar terhadap sokongan pengundi masih belum dapat dipastikan, termasuk sama ada perkembangan itu akan mempengaruhi keputusan PRN Melaka atau tidak.
"Saya menjangkakan akan ada impaknya, cuma saya belum dapat yakin sama ada impak itu sangat signifikan, sangat besar sehingga mengubah peta kekuatan BN," katanya.
Sama juga dengan Tawfik yang menganggap isu kepulangan Najib boleh mempengaruhi penilaian pengundi muda dan pengundi atas pagar, khususnya mereka yang menjadikan integriti, tadbir urus baik dan kesamarataan undang-undang sebagai pertimbangan politik.
Bagi penyokong tradisional Umno pula, kata pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM itu, mereka mungkin melihat keputusan memperjuangkan Najib agar mendapat keizinan ditahan di rumah sebagai perkembangan positif buat bekas pemimpin mereka.
“Keyakinan pengundi menjelang PRU ke-16 bukan ditentukan oleh isu Najib semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada prestasi kerajaan, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kemampuan umno menawarkan kepimpinan yang mempunyai hala tuju jelas,” katanya.
Syaza Farhana pula merasakan Umno harus mempraktikkan akauntabiliti dalam parti selepas mereka seperti tidak hairan dan tidak mengambil tanggungjawab dalam aspek tersebut.
“Kita faham Umno perlu pertahankan (diri) bahawa ia tidak bersalah dan mungkin silap orang tertentu (berkenaan skandal-skandal terkait Umno), tetapi ia sekali gus menunjukkan bahawa mereka seperti tidak berubah.
“Paling-paling tidak pun (sepatutnya) adalah mengakui silap dan menerima tanggungjawab,” katanya kepada Malaysiakini.
Risiko jadi liabiliti menjelang PRU
Mengenai sama ada Najib akan menjadi beban kepada Umno menjelang PRU ke-16 atau tidak, Tawfik berkata bekas Presiden Umno itu boleh menjadi sumber kekuatan politik dalam kalangan penyokong setia, tetapi pada masa sama membawa cabaran kepada usaha memperluas sokongan parti.
Katanya, pengaruh dan jaringan politik Najib masih bernilai dalam Umno namun kontroversi berkaitan sabitan rasuah boleh terus menjadi bahan perdebatan di luar parti menjelang PRU akan datang.
"Isu penting bukan sekadar sama ada Najib menjadi aset atau beban tetapi sejauh mana Umno mampu membina identiti politik yang tidak terlalu bergantung kepada seorang tokoh," katanya.
Menurut Tawfik, keupayaan parti mengemukakan kepimpinan baru, dasar yang relevan dan komitmen terhadap integriti akan terus menjadi ukuran penting dalam penilaian pengundi.
/file/attachments/orphans/eadasdasd_561675.png)
Abu Hafiz pula berpandangan Najib sebenarnya sudah mula menjadi beban kepada Umno, bahkan kedudukan ahli politik berkenaan berpotensi menimbulkan liabiliti lebih besar menjelang PRU ke-16.
Menurutnya, isu itu boleh menjadi semakin merugikan Umno sekiranya PH berjaya membentuk naratif dan strategi politik yang berkesan dengan menjadikan kes Najib sebagai ‘peluru’ untuk menunjukkan parti itu tidak berubah walaupun ditolak dalam dua PRU.
“Umno tidak akan mampu mengawal kesan politik sekiranya parti itu terus dilihat mempertahankan Najib secara berlebihan, khususnya berhubung kesalahan rasuah di mahkamah,” katanya.
Syaza Farhana pula berpendapat sebaliknya. Bagi Syaza Farhana, Najib tidak akan menjadi beban seperti yang disangka sesetengah orang apabila isu 1MDB tidak begitu mendapat sambutan kerana sudah dilihat sebagai isu lama.
“Kalau PH terus menggunakan isu Najib, ia kelihatan seperti PH tiada modal baru untuk diketengahkan.
“Umno mendapat perlindungan daripada institusi diraja, jadi mereka boleh move on. Kalau PH tak move on, saya rasa akan memakan PH,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/najib1ddd2_441551.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.