Pertaruhan dua 'jutawan media sosial' di Merlimau, Duyong
PRN MELAKA | Sedar atau tidak, BN sebenarnya mempunyai dua orang 'jutawan media sosial' di Melaka dan dilihat boleh menjadi nilai tambah kepada parti itu yang berusaha mendapatkan mandat sekali lagi daripada pengundi pada Sabtu ini.
Dua orang 'jutawan' itu ialah Akmal Saleh dan Noor Helmy Abdul Halem, masing-masing dalam misi mempertahankan kerusi Merlimau dan Duyong.
Akmal juga merupakan Ketua Pemuda Umno Malaysia.
Noor Helmy mempunyai lebih setengah juta pengikut di Facebook dan 1.4 juta pengikut di TikTok, manakala Akmal ada lebih 700,000 pengikut di Facebook dan 1.1 juta lagi di TikTok.
Dengan pengikut berjumlah tujuh angka di media sosial, peluang mereka nampak meyakinkan untuk memenangi undi terbanyak. Namun ada soalan yang menjadi tanda tanya: apakah populariti atau kuasa tular itu benar-benar akan diterjemahkan di kertas undi? Jawapannya: tidak.
Noor Helmy misalnya, di atas kertas timbalan exco kerajaan negeri itu mungkin terpaksa bergelut untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya dengan hanya majoriti 200 undi dalam PRN lima tahun lalu.
Pada masa sama keadaan di lapangan mungkin berbeza kali ini.
Jika pada 2021 dia berdepan pertandingan enam penjuru dan undi Melayu BN dan PN terpecah, Sabtu ini dia ada tugas yang lebih mudah secara relatif. Noor Helmy berdepan persaingan satu lawan satu iaitu dengan PH yang diwakili wakil DAP, Poo Long Suan.
DAP memang menunjukkan sedikit peningkatan undi popular di situ, daripada 36.7 peratus pada PRN 2021 kepada 41.5 peratus pada PRU 2022.
Tetapi jika diambil kira undi diperoleh BN dan PN pada 2021 digabungkan, Noor Helmy sebenarnya selesa dengan dengan penguasaan lebih 60 peratus.
Tidak kira berapa pun jumlah pengikut media sosialnya, ia dilihat tidak akan memainkan peranan besar di lapangan.
Yakin pendekatan tradisional
PH pula yang kekal mempertaruhkan calon daripada kaum Cina juga dijangka berdepan cabaran memandangkan majoriti pengundi di kawasan itu kini ialah Melayu (64.3 pratus).
Malah perubahan komposisi sebegitu bukan saja berlaku di Duyong malah rata-rata di DUN lain di Melaka.
Pada PRN 2021, jumlah pengundi DUN Duyong ialah seramai 18,237 orang namun kini meningkat menjadi 26,528 orang sekali gus merekodkan peningkatan 45.46 peratus.
Pertambahan pengundi yang drastik itu mengubah komposisi peratusan kaum secara drastik apabila pengundi Melayu kini seramai 64.25 peratus berbanding Cina (29.77 peratus), India (4.96 peratus) serta lain-lain (1.02 peratus).
Walaupun tidak diangkat menjadi barisan exco, pendekatan Noor Helmy sebagai pencipta kandungan mencetuskan magis tersendiri apabila sering tular dan menjadi sebutan di seluruh Malaysia.
Telatah Uncle Wong (Vong Fook Hoi) dan Dak Nor (Nor Komariah Mohd Khalid Lourdes Lio) yang sering menghiasi platform media sosial Noor Helmy selalu mencuri perhatian ramai.
Turut mendapat tempat ialah kandungan video dia menyelesaikan masalah penduduk setempat.
Vong, 88, dan Dak Nor, 42, ialah penduduk Duyong yang mendapat bantuan Noor Helmy dan sering muncul dalam video-videonya.
Poo sedar dan mengakui kelebihan calon BN itu tetapi dia tetap percaya pendekatan tradisional mampu memberikan hasil yang diharapkan.
"Saya lebih cenderung kepada sesi bersemuka dengan pengundi, dan kita boleh mendengar cadangan dan harapan mereka di kawasan ini.
"Saya rasa itu lebih penting daripada saya (meraih) populariti dalam media sosial," katanya dipetik sebagai berkata dalam satu temu bual media tempatan.
Sementara itu, seorang lagi calon ‘viral’ BN di Melaka ialah Akmal.
/file/attachments/orphans/radasdasd_824787.jpg)
Posisinya sebagai ketua Pemuda Umno dengan pelbagai kontroversi memang selalu menarik perhatian umum, sekali gus popularitinya mencanak sejak lima tahun kebelakangan ini.
Sebagai seorang individu yang lantang bersuara, Akmal turut menjadi perhatian di media sosial dan laporan media tempatan.
Namun populariti Akmal itu ada harganya. Sebagai contoh, dia berdepan dengan saman fitnah dan kalah.
Di sisi penyokongnya, Akmal dianggap wira atau pejuang dalam isu-isu Melayu dan Islam, namun dipandang sebaliknya oleh pihak lawan.
PRN 2021 menyaksikan Akmal berjaya mengekalkan kerusi tradisi Umno itu dengan penguasaan 58.4 peratus undi, jauh meninggalkan PH (24.7 peratus) dan PAS (16.8 peratus)
Sokongan PH meningkat sedikit pada PRU setahun selepas itu kepada 30.5 tetapi itu masih jauh di belakang Umno. Ia belum mengambil kira gabungan sokongan PAS-PN yang menjadi rakan kongsi baru BN sejak tiga PRN mutakhir.
/file/attachments/orphans/MohdNoorHelmy1_332520.jpg)
Merlimau merekodkan jumlah pengundi Melayu yang sangat tinggi (71.57 peratus), berbanding Cina (16.12), India (11.23 peratus) dan lain-lain (1.09 peratus).
Bagaimanapun, populariti Akmal di lapangan atau media sosial dan sebagai Adun serta exco kerajaan negeri sebelum ini tetap memberi kelebihan bagi mengukuhnya ‘jenamanya’.
Lawan Akmal di Merlimau ialah Ketua Wanita Amanah, Rahayu Hamzah, 43, yang diturunkan bagi mewakili PH.
Bagi Rahayu - atau lebih mesra dipanggil Ayu - apa yang dimiliki Akmal itu tidak menggentarkannya.
"Alhamdulillah, walaupun kita kecil, tetapi jiwa kita besar,” katanya yang yakin dengan mesej mulut ke mulut kaum ibu dan wanita yang mengenalinya di Merlimau.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/43543534534345_574504.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.