Bekas pegawai daerah dituduh cabul wanita

dikemaskini Seorang bekas pegawai daerah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, tiga tahun lepas.

Roslan Yahaya, 51, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita berumur 29 tahun itu di dalam pejabat pegawai daerah, Pejabat Daerah dan Tanah, Jalan Betek, Sungai Rambai antara 11 pagi dan 1.10 tengah hari, 26 April 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amir Hamdzah Othman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Anthony Samy yang mewakili Roslan memohon jaminan dikurangkan.

Amir Hamdzah turut memohon mahkamah memerintahkan tertuduh supaya tidak mengganggu saksi kes tersebut.

Majistret Chiang Kian Hong membenarkan Roslan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Roslan membayar wang jaminan itu.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.