Bawani: Saya berani kerana benar

Pelajar jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia, KS Bawani berkata ibunya kini bimbang dengan keselamatan dirinya selepas video konfrontrasi beliau dengan Pengerusi NGO Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin mendapat perhatian luas.

Bawani, 27, berkata beliau bagaimanapun memberitahu ibunya supaya tidak bimbang kerana beliau mendapat sokongan ramai.

NONE"Sebenarnya, saya rasa mak saya paling takut. Mak saya beritahu, 'berhati-hati tau, jangan-jangan ada orang nak tembak awak'. Dia takut. Dia ada beritahu (kepada saya).

"Selepas hari kedua, bila (video itu) dah meletup, (ibu kata) saya takut ni, (kalau) ada orang tembak kamu. Saya beritahu, saya rasa saya tak buat apa-apa salah, jadi saya tak perlu takut.

"Dan ramai sedang bersama saya untuk memperjuangkan apa yang benar," katanya aktivis NGO Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Katanya, sekiranya perkara tidak diingini benar-benar berlaku ke atasnya, beliau hanya akan menghadapinya dengan senyuman kerana percaya bahawa beliau bertindak dengan betul "demi menegakkan keadilan".

Bawani menganggap dirinya sebagai orang biasa dan bukannya hero walaupun video berkenaan mendapat perhatian meluas.

Dengan merendah diri, beliau berkata ramai lagi individu lain dengan perjuangan yang berlipat kali ganda lebih besar daripadanya.

NONE"Saya bukan hero. Saya menyuarakan pandangan saya, dan jangan pandang saya di langit. Saya mahu bersama rakyat di bawah. Saya tak takut, saya tak buat salah. (Saya) berani kerana benar," tegasnya.

Menceritakan mengenai latarbelakangnya, Bawani berkata beliau terlibat dengan aktivisme dalam kemasyarakatan sewaktu menuntut dalam jurusan psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2005 hingga 2008.

Katanya, sewaktu berada di unverisiti, beliau aktif menyertai program kemasyarakatan seperti bertemu dengan penduduk ladang dan kampung serta peneroka bandar.

"Saya memutuskan untuk membantu orang, jadi saya belajar psikologi dahulu untuk mengetahui dan mendalami perasaan dan tindak tanduk manusia bagi menyelesaikan sesuatu masalah mereka," katanya.

Selepas graduasi dan mahu terus terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, Bawani bekerja sepenuh masa dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantu tugas setiausaha agung yang kini disandang oleh S Arutchelvan, tambahnya.

Tak minat jadi calon

Menurutnya, sewaktu bekerja di PSM, beliau memohon untuk menyambung pengajian dalam bidang ijazah sarjana dalam bidang Klinikal Psikologi di UKM pada Disember 2008, bagaimanapun gagal dalam temuramah yang diadakan.

NONEDitanya sama ada beliau berminat secara langsung dalam politik atau menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang, Bawani berkata beliau belum menjadi ahli PSM dan tidak berminat menjadi calon pilihan raya akan datang.

"Saya rasa saya tidak ada apa-apa rancangan untuk bertanding, tapi saya akan meneruskan perjuangan saya. (Biar) masa depan akan menetukan segala-galanya.

"Saya sentiasa menyokong PSM. Saya rasa perti politik yang memperjuangkan fahaman ideologi saya adalam PSM," katanya yang bercita-cita menjadi peguam hak asasi.

Bawani berkata beliau menjadikan pemimpin gerila Bolivia Che Guevara sebagai idolanya kerana mengagumi perjuangan tokoh itu yang berjuang bersama rakyat sewaktu masih muda.

"Semua orang tahu beliau berasal dari Cuba yang berfahaman sosialis, yang mementingkan kesamarataan. Tidak ada kaya atau miskin. Semua sama rata... Itu prinsip yang sama minat iaitu perjuangan ideologi kesamarataan iaitu sosialis," katanya yang mula mengenali idola dan perjuangan Che sejak 2005.

Katana, beliau turut menonton filem yang berkaitan tokoh pejuang gerila itu seperti 'The Motocycle Diaries' (2004) arahan Walter Salles dan 'Che' (2008) arahan Steven Soderbergh.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.