Samy Vellu: Kuil Hindu paling unik untuk Putrajaya

Pusat pentadbiran negara, Putrajaya bakal memiliki kuil Hindu paling unik di negara ini yang akan dibina di Presint 20, dengan kos RM12 juta.

Duta Khas ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S Samy Vellu berkata kuil yang dinamakan Sri Lalithambikai Alayam itu menggabungkan ciri dari utara dan selatan India serta mampu menampung sehingga 10,000 orang ketika perayaan.

"Majlis pecah tanah dijangka pada bulan Mac ini dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada September nanti. Kita yakin ia dapat memenuhi keperluan penganut Hindu di Putrajaya, Cyberjaya dan kawasan sekitarnya yang terus meningkat," katanya pada sidang media, di Putrajaya hari ini.

Perbadanan Putrajaya meluluskan pembinaan kuil satu tingkat dan ruang pejabat dua tingkat di Presint 20 itu pada 20 Sept lepas, mengikut Seksyen 22 (3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Menurut Samy yang juga bekas Presiden MIC, keunikan reka bentuk kuil itu akan menjadi satu lagi tarikan pelancong ke Putrajaya.

Sementara itu Presiden Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariaman Devasthanam Wilayah Persekutuan Putrajaya, Datuk Kanagarajah Raman berkata pembinaan kuil dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2015.

Menurutnya kuil itu akan dilengkapi sebuah dewan serba guna, pusat penyelidikan agama Hindu, pusat infomasi teknologi, perpustakaan, pejabat pengurusan kuil dan rumah kediaman bagi Sami Hindu (Gurukkal)dan para pekerja serta kemudahan parkir bagi lebih 150 kenderan.

"Ini merupakan kuil (Lalithambikai) pertama di negara ini. Kita mengambil masa lebih tujuh bulan untuk menghasilkan reka bentuk unik ini dengan memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan oleh Perbadanan Putrajaya. Ia memang unik.

"Jadi daripada keluasan tanah satu ekar (0.405 hektar), kita akan bina kuil dalam 17,000 kaki persegi. Bila siap nanti ia pastinya menjadi kebanggaan penganut Hindu, bukan warga Putrajaya dan Cyberjaya tetapi seluruh penganut Hindu di negara," katanya.

Menurutnya buat masa ini terdapat 1,500 penduduk berketurunan India merangkumi 300 keluarga, kebanyakannya penjawat awam, tinggal di Putrajaya.

Katanya selain sumbangan derma orang ramai, persatuan itu juga yakin kerajaan pusat akan menyalurkan bantuan kewangan untuk membina kuil berkenaan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.