Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA lapor polis dakwa kenyataan diputarbelit

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Selangor membuat empat laporan polis selepas mendakwa kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible diputarbelit oleh beberapa pihak.

Yang Dipertua PERKASA Selangor, Abu Bakar Yahya berkata laporan itu dibuat bagi meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan pihak terbabit termasuk seorang peguam dalam sebuah laman portal berita yang didakwa menyeleweng

daripada kenyataan sebenar Ibrahim.

    

"Kami meminta meminta pihak berkuasa menyiasat kenyataan yang mencetuskan provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap apa yang dibangkitkan oleh presiden Perkasa," katanya.

    

Beliau bersama beberapa anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam semalam.

    

Ibrahim sebelum ini dilaporkan mengeluarkan kenyataan meminta supaya Bible versi bahasa Melayu yang ada kalimah Allah dibakar sambil menyifatkannya sebagai tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab.

    

Di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Ketua Wira PERKASA negeri, Mohd Rizuad Mohd Azudin turut membuat laporan sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.

Dalam perkembangan sama, beliau menafikan PERKASA terlibat dalam acara membakar Bible versi bahasa Melayu yang kononnya dijadual berlangsung di Padang Bandaran Bangan Luar, Butterworth, esok.

"Kami tidak tahu menahu tentang perkara itu. Itu semua adalah satu propaganda. Kami tidak akan bertindak sedemikian kerana kami menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu semalam.

    

Media kelmarin melaporkan Ibrahim mendakwa kenyataannya mengenai isu itu telah diputarbelit oleh sesetengah pihak demi meraih kepentingan politik dan cuba melemahkan perjuangannya dalam mempertahankan Islam.

    

Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah berniat mahu menyinggung perasaan penganut agama Kristian, sebaliknya kenyataannya adalah menjurus kepada tindakan individu yang sebelum ini dilaporkan mengedar Bible versi bahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah dan tulisan jawi kepada pelajar sekolah.

    

- Bernama

ADS