K'jaan tarik balik pengharaman Hindraf

Selepas lebih empat tahun selepas diharamkan, kerajaan menarik pengharaman ke atas Hindraf.

hindraf 5th anniversary 251112 waythamoorthy waytha moorthyPengerusi Hindraf, P Waythamoorthy dalam mesej teks berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada pertubuhan itu melalui surat bertarikh semalam dari Kementerian Dalam Negeri.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen lanjut kerana sedang berada di United Kingdom.

Hindraf telah diharamkan pada 15 Oktober 2008 oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kerajaan pada masa itu menyifatkan Hindraf  sebagai ancaman kepada ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara serta keharmonian kaum.

Hindraf mendapat perhatian selepas berjaya menggerakkan lebih 30,000 orang turun ke jalanan di Kuala Lumpur pada 25 November 2007 bagi memperjuangkan nasib masyarakat India yang didakwa terpinggir di Malaysia.

hindraf british petition rally 251107Hindraf juga dianggap telah menjejaskan teruk prestasi BN pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan sokongan kaum India untuk parti pemerintah merosot dengan mendadak.

BN gagal mengekalkan prestasi penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat sejak penubuhannya pada 1973.

Surat itu dihantar ke pejabat firma guaman Waythamoorthy di Negeri Sembilan. Ia berbunyi: Dimaklumkan bahawa YB Menteri Dalam Negeri setelah menimbangkan semula rayuan tuan telah bersetuju untuk membatalkan Perintah Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966 bertarikh 14 Oktober 2008 yang telah mewartakan Hindu Rights Action Force (Hindraf) sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Surat itu tidak menyatakan sebab bagi keputusan itu diambil. Ia
ditandatangani oleh Dasmond Das Michael Das dari Bahagian Pengurusan Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Malaysia.

s ganesan hindraf pc brickfields five-year blueprintDalam reaksinya, penasihat Hindraf, N Ganesan (kanan) berkata,
surat yang diterima hari ini itu adalah satu kejutan.

"Ini berlaku secara tiba-tiba dan begitu hampir dengan Thaipusam. Kami perlu membincangkan perkara ini terlebih dahulu sebelum kita boleh mengeluarkan respons rasmi," katanya.

Beliau menambah ia akan diadakan selepas Thaipusam esok kerana kepimpinan Hindraf berada di merata tempat untuk menyambut perayaan tersebut.

Waythamoorty yang pulang daripada tinggal dalam buangan di United Kingdom pada 1 Ogos tahun telah didekati oleh BN dan Pakatan Rakyat untuk membincangkan nasib golongan miskin kaum India di negara ini.

Walaupun pergerakan itu akhirnya mengadakan perbincangan dengan Pakatan, tetapi rundingan dengan BN tidak menjadi kenyataan kerana ia telah menetapkan pra-syarat, iaitu kerajaan hendaklah terlebih dahulu menarik balik pengharaman Hindraf.

Tidak jelas sama ada ini akan membuka jalan untuk pertemuan antara pemimpin Hindraf dengan kerajaan.

manoharan first visit to selangor state assembly building 110509 04Sementara itu, peguam Hindraf, M Manoharan berkata penarikan
pengharaman itu dibuat menjelang pendengaran di Mahkamah Persekutuan pada 5 Mac ini berhubung permohonan untuk mendaftarkan Hindraf sebagai sebuah organisasi yang sah.

"Memandang sekarang larangan itu telah ditarik balik, kita mahu Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan pendaftaran Hindraf. Saya juga ingin menasihatkan Hindraf untuk mendapatkan gantirugi dari kerajaan kerana pengharaman itu telah menyebabkan banyak kesusahan kepada aktivis kami.

"Kerajaan harus memohon maaf dan membayar sejumlah besar pampasan kepada masyarakat India," kata Manoharan, yang juga ADUN Kota Alam Shah. Beliau dipilih mewakili kerusi negeri Selangor dalam pilihan raya umum 2008 ketika di bawah tahanan ISA.

Walaupun beliau mengalu-alukan "berita baik" itu, Manoharan berkata 'tiada apa yang hendak diraikan' kerana kerajaan masih belum bersetuju dengan tuntutan 18 perkara Hindraf.

hindraf uthayakumar klang invite 040412Ketika dihubungi, P Uthayakumar (kiri), peguam bagi 54 aktivis dalam empat kes di mahkamah majistret Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh dan Selayang berkata Jabatan Peguam Negara kini sepatutnya menggugurkan kes terhadap mereka.

"Dalam semangat menarik balik pengharaman tersebut, adalah adil bagi kes-kes terhadap mereka ditarik balik. Ia telah lama berlanjutan dan malah seorang daripada 54 orang telah meninggal dunia dua bulan lalu," katanya.

Seramai 54 aktivis Hindraf didakwa menjadi ahli organisasi haram selepas mereka menyertai perhimpunan anti-Interlok Hindraf pada tahun 2011. 

[Baca berita penuh]

hindraf ban lifted by ros letter

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.