Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masa depan Nasha jadi spekulasi
Diterbitkan:  Jan 30, 2013 1:46 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Spekulasi mengenai masa depan bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa, yang digugurkan dari majlis syura ulama parti itu, terus menjadi tumpuan laporan media hari ini.

Antaranya akhbar Sinar Harian yang memetik kenyataan mursyidul am parti, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau tidak akan menghalang sekiranya Nasharudin memilih untuk menyertai parti lain.

"Itu dia punya pasal. Saya sebut kelmarin kepada wartawan orang laki bini lagikan bercerai. Padahal kita nak sambut bini itu dengan sembelih lembu, palu gong gendang, selawat kepada Nabi, tetapi boleh bercerai. Ini (pula) kerana parti," katanya seperti dilaporkan akhbar itu.

Akhbar berkenaan turut memetik kenyataan pengerusi ulama Umno, Fathul Bari Mat Jahaya yangh mengalu-alukan sekiranya Nasharudin menyertai Jawatankuasa Kerja Ulama Muda Malaysia (ILMU) yang diketuainya.

"Tidak timbul masalah untuk beliau menyertai ILMU, meskipun masih lagi menjadi ahli PAS. ILMU merupakan NGO yang pro-Umno dan bukan sepenuhnya dengan Umno," katanya kepada akhbar itu.

Satu lagi tulisan di akhbar itu menimbulkan teka-teki mengenai kawasan yang akan ditandingi Nasharudin selepas ini, memandangkan MP Bachok itu tidak lagi tersenarai sebagai calon PAS.

Rencana yang disiarkan di halaman kedua itu mempersoalkan sama ada Nasharudin akan bertanding di Negeri Sembilan.

"Jika ya, di manakah kerusi yang akan diperuntukkan kepadanya oleh Umno? Adakah di kampung kelahirannya di Rembau yang sekarang diwakili Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin? Ataupun beliau akan bertanding di kerusi DUN Rantau yang kini disandang oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan?

"Melihat pada keakraban Nasha dan gunanya bagi hubungan diplomatik dengan pemimpin dan juga ulama Timur Tengah, tidak berbaloi rasanya jika beliau dipencilkan hanya di peringkat negeri" rencana itu dipetik.

ADS