Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Umno bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yakin skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak akan menjejaskan peluangnya untuk merampas semula kerusi parlimen tersebut daripada PKR.

NONE Apatah lagi, skandal NFC yang dikaitkan dengan ketua Wanita Umno itu "tidak ada kaitan dengan beliau", tegas Raja Nong Chik yang juga menteri wilayah dan kesejahteraan bandar itu.

"Tidak ada (kesan). Beliau juga telah berbakti (di Lembah Pantain) selama tiga penggal. Banyak kesan positif daripada Shahrizat. Jangan lupa baktinya.

"Skandal (NFC) tidak ada kaitan dengan saya. Yang penting usaha kita. Dan pengundi jangan terpengaruh dengan skandal sini, skandal sana, tengok kerja (saya) yang telah dibuat," katanya.

Raja Nong Chik berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung adakah isu yang dikaitkan dengan Shahrizat akan menjejaskan beliau dan jentera BN di Lembah Pantai.

Raja Nong Chik bakal berdepan dengan penyandang kerusi tersebut, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang menewaskan Shahrizat dengan kelebihan majoriti lebih 2,000 undi pada 2008.

NONE Mengulas mengenai prestasi yang ditunjukkan MP berkenaan setakat ini, Raja Nong Chik mendakwa Nurul Izzah lebih "suka mengkritik" berbanding berkhidmat untuk rakyat.

"Apa kerja yang ahli parlimen Lembah Pantai buat di sini? Berikan contoh hasil yang diberikan beliau berbanding dengan hanya mengkritik," katanya yang turut menyenaraikan beberapa isu yang didakwa tidak diselesaikan MP tersebut.

Tambahnya, jentera pilihan rayanya juga kini bersedia untuk berdepan dengan Nurul Izzah dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak gentar, sama ada Nurul Izzah ke, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ke... Silakan. Semua sama. Kita buat kerja dengan ikhlas dan Kita serah kepada pengundi (untuk memilih)."

NONE Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jangkaan jumlah majoriti yang bakal diperolehinya sekiranya BN menang dalam pilihan raya tersebut.

"Kalau pengundi kata kepada kita, buat kerja pun tak guna, dan (mahu) undi kepada orang yang pandai kritik, saya kena terimalah.

"Tetapi jika mereka mahukan orang yang nak memberi perkhidmatan kepada pengundi Lembah Pantai, saya sedia berkhidmat," katanya yang mendakwa telah berkhidmat di kawasan tersebut sejak 30 tahun lalu.

"Kamu beri mandat kepada saya di Lembah Pantai dan BN di peringkat nasional, kita akan teruskan transformasi kita. Saya sedikit sebanyak membuat transformasi secara yang saya mampu," katanya.

Beliau ditemui ketika mengedarkan limau kepada pengunjung dan peniaga di sebuah pasar di Lucky Garden, Bangsar Baru hari ini, sempena sambutan Tahun Baru Cina.

ADS