Hishammuddin: Keadaan sekitar Lahad Datu terkawal

Keadaan di sekitar Lahad Datu adalah terkawal ketika Angkatan Tentera dan polis masih meneruskan rundingan sejak malam tadi dengan sekumpulan rakyat asing yang mendarat dengan bot di persisiran pantai pada Selasa dengan berpakaian ala tentera dan bersenjata api.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ada penduduk di kawasan berdekatan juga telah diarah berpindah untuk jaminan keselamatan.

"Sehingga kini tiada laporan penduduk dijadikan tebusan. Dianggar jumlah kumpulan itu antara 80 orang hingga 100 orang.

"Motif kehadiran mereka juga tidak dapat didedahkan kerana ia masih terlalu awal," katanya kepada pemberita selepas hadir pada taklimat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Bangi, dekat ibu negara hari ini.

Hishammuddin juga meminta semua pihak agar jangan membuat sebarang spekulasi atau menyebar khabar angin mengenai kejadian pencerobohan itu kerana boleh menyebabkan gangguan kepada rundingan berkenaan.

"Orang ramai diminta supaya jangan mempercayai sebarang khabar angin tanpa pengesahahan pihak berkuasa. Tunggu rundingan selesai kerana penjelasan pihak berkenaan (penceroboh) adalah penting," katanya.

Semalam pihak berkuasa keselamatan berjaya mengepung sekumpulan lelaki rakyat asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api yang menceroboh masuk ke Lahad Datu dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kumpulan itu menceroboh masuk disebabkan masalah yang berlaku di selatan Filipina.

Menurut sumber polis, lebih 100 anggota kumpulan, disyaki kumpulan militan dari selatan Filipina, bersenjata lengkap dan berpakaian celoreng tentera mendarat di persisiran pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.

Beliau berkata pihak keselamatan telah mengambil tindakan mengepung kawasan itu dan mengarahkan kumpulan terbabit meletak senjata serta menyerah diri.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.